BEIJING: Ketua skuad pingpong China mendakwa ruang permainan yang 'lebih kecil daripada kebiasaan' mungkin menjejaskan prestasi dan keselamatan pemain mereka. China memenangi 28 daripada 32 gelaran untuk pingpong di Sukan Olimpik - dominasi yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana negara. Namun, penangguhan temasya terbabit susulan coronavirus mewujudkan beberapa cabaran daripada prestasi tidak menentu yang ditunjukkan pemain terkemuka China sehinggalah peraturan baharu untuk mengelakkan virus itu tersebar. "Ruang permainan lebih kecil daripada kebiasaan... pertandingan dunia selalunya memiliki ruang sebanyak tujuh kali 14 meter.. saya mengukurnya dan ia hanya enam kali 11 meter," kata Presiden Pingpong China, Liu Guoliang. "Saya bimbang mengenai keselamatan atlet. Ia agak berbeza berbanding sebelum ini." Liu sebelum ini menyatakan langkah pencegahan coronavirus yang diambil di Sukan Olimpik Tokyo menyebabkan persiapan pasukan mereka menjadi 'begitu sukar.' "Kami tidak jangkakan peraturan epidemik seperti tidak mengelap meja pertandingan dengan tangan anda atau menghembus (bola)," kata Liu pada minggu lalu. Sebelum ini, pasukan pelayaran China turut mengadu mengenai langkah pencegahan pandemik yang longgar di hotel mereka apabila menyatakan atlet dipaksa untuk bercampur dengan tetamu lain. China membawa 777 atlet dan kakitangannya ke Jepun - kontinjen terbesar mereka untuk Sukan Olimpik yang diadakan di negara luar.-AFP
https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2021/07/841584/olimpik-china-tak-puas-hati-ruang-permainan-pingpong-kecil
|