Khairulnizam harap tuah tiupan angin
Kuala Lumpur: Tiupan angin yang kini mencecah hingga 20 ke 30 knot memberi kelebihan buat pelayar berpengalaman negara, Khairulnizam Mohd Afendy yang akan beraksi dalam acara laser lelaki. Bagaimanapun, tiupan angin itu kurang memihak kepada tiga lagi atlet negara Nur Shazrin Mohd Latih dalam laser radial wanita dan Nuraisyah Jamil dan Juni Noor Jamali , International 470. Bagaimanapun, segala cabaran perlu ditempuhi dengan atlet negara ketika ini berada dalam keadaan terbaik dan hanya menunggu masa untuk turun beraksi. Bagi jurulatih Khairulnizam yang juga ayahnya, Afendy, beliau mengharapkan atlet memberi yang terbaik dan berjuang sehingga berhabis-habisan. Ini kerana mengikut perkiraan dan penilaian semasa, peluang adalah sama rata dan hanya pengalaman dan hari pertandingan akan menjadi penentu. Katanya, lupakan segala ganjaran atau sebaliknya dan hanya fokus kepada tujuan utama itu menghadiahkan emas buat negara. "Atlet perlu tahu kepentingan untuk negara. Jangan fikir apa-apa, apa yang dilakukan fikir untuk rakyat yang ketika ini berdepan dengan pelbagai masalah kerana pandemik. "Atlet perlu faham kedudukan mereka ketika ini jangan pentingkan diri kerana kedudukan semua sama rata dan masing-masing ada peluang. "Kalau dapat kawal skil, emosi dan mental peluang itu akan menyusul," katanya. Tokyo dilaporkan dilanda angin taufan pada semalam dan angin dijangka akan lebih kuat sekitar perairan dan lokasi pertandingan Enoshima Yacht Harbor.
sumber : Hmetro
|