|
Langkah Penjimatan Elektrik Di Rumah
BAGI yang sering menghadapi wang perbelanjaan tidak cukup setiap bulan, atau dalam erti kata lain sentiasa mengalami aliran tunai negatif seperti perbelanjaan melebihi pendapatan, maka cara paling mudah untuk memperbetulkan keadaan tersebut adalah dengan mengurangkan perbelanjaan.
Salah satu komponen yang boleh dikurangkan adalah bayaran bil elektrik. Tambahan pula sekarang kita perlu berada di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 31 Mac ini.
Untuk kurangkan bayaran bil elektrik, kenalah kurangkan dan jimatkan penggunaan tenaga elektrik.
Jadi, dengan tahu cara jimat elektrik yang betul, maka perbelanjaan bulanan dapat dikurangkan dan akan membantu memperbaiki aliran tunai ke arah lebih baik.
Jom Sinar Plus kongsikan beberapa cara yang mungkin boleh anda cuba.
Pastikan barangan elektrik yang bersesuaian
Perkara asas yang paling penting untuk pastikan tidak berlaku pembaziran elektrik secara berlebihan, pastikan peralatan elektrik yang digunakan adalah sesuai dari segi spesifikasi saiz, kapasiti, kuasa dan penggunaan tenaganya.
Misalnya, gunakan pendingin hawa dengan kuasa yang optimum dengan saiz ruang.
Selain itu, gunakan peti sejuk yang sesuai bergantung kepada berapa banyak bahan mentah yang disimpan kebiasaannya bergantung kepada bilangan anggota isi rumah.
Anda fikirkan sendiri spesifikasi peralatan elektrik yang sesuai di kediaman anda.
Ingat, peralatan dengan spesifikasi terlalu tinggi akan menyebabkan pembaziran elektrik, manakala spesifikasi terlalu rendah akan menyebabkan beban dan penggunaan elektrik yang tinggi.
Maka, carilah yang paling optimum dan sesuai dengan keperluan dan kediaman anda.
Guna peralatan elektrik yang betul
Untuk memastikan kurangnya pembaziran tenaga elektrik, peralatan elektrik perlulah digunakan dengan cara yang betul sepertimana spesifikasinya.
Sebagai contoh, mesin basuh yang mempunyai kapasiti 10kg, maka pastikanlah berat pakaian yang hendak dibasuh tidak melebihi berat tersebut.
Pendingin hawa, jika ditetapkan pada suhu terlalu rendah, akan menyebabkan penggunaan tenaga elektrik yang tinggi.
Walhal, jika tetapkan pada suhu 25-27 °C pun sudah memadai.
Peti sejuk, jika terlalu kerap dibuka dan ditutup, juga akan menyebabkan pembaziran tenaga.
Begitu juga jika peti sejuk tersebut disumbat dengan terlalu banyak barang sehingga hampir penuh, turut akan menyebabkan peningkatan penggunaaan tenaga.
Kuncinya, cara jimat elektrik yang efektif adalah dengan menggunakan peralatan elektrik dengan betul.
Hadkan penggunaan peralatan elektrik
Selain itu, antara cara jimat elektrik yang mudah adalah menghadkan penggunaan peralatan elektrik.
Di sini, perlunya anda membuat kawalan dan menetapkan peraturan berkenaan tempoh penggunaan peralatan elektrik di kediaman anda.
Hadkan masa tontonan televisyen, lebih baik untuk buat aktiviti yang lebih bermanfaat seperti membaca buku dan beriadah.
Hadkan juga masa penggunaan pendingin hawa, cukup untuk sekadar hilangkan rasa panas sahaja.
Simpan air panas dalam termos, supaya air tidak perlu dipanaskan berulang-ulang kali menggunakan cerek elektrik.
Gunakan cahaya matahari semulajadi untuk menerangi rumah pada waktu siang berbanding menggunakan cahaya lampu.
Semua ini adalah contoh cara-cara untuk menghadkan penggunaan elektrik.
Tutup suis dan cabut soket
Tutup suis televisyen selepas menonton, komputer, suis lampu apabila keluar dari tandas, suiz periuk nasi apabila selesai masak nasi dan segala jenis suis yang tidak digunakan.
Pendek cerita, untuk elakkan pembaziran tenaga elektrik, tutup suis apabila peralatan elektrik tidak lagi digunakan.
Kalau letak pada standby atau sleep mode, tenaga elektrik masih digunakan, jadi lebih baik tutup sahaja.
Lepas tutup suis, cabut soket daripada plug sebab ada yang mendakwa kalau soket masih terpasang, tenaga elektrik masih mengalir dan tetap dibazirkan.
Itulah sahaja beberapa cara jimat elektrik secara umum.
Apabila dah dapat jimatkan penggunaan elektrik, jumlah bil elektrik bulanan juga secara automatik akan berkurang.
Maka, akan berkuranglah perbelanjaan bulanan. Jadi, selamat berjimat dan anda mampu mengubahnya!
Sumber: jomurusduit.com
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|