Duterte tawar wang tunai, tidak minta maaf daripada Hidilyn
Manila: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte menggesa juara angkat berat Olimpik Tokyo 2020, Hidilyn Diaz 'melupakan apa yang berlaku', dua tahun selepas menyenaraikan wanita itu dalam senarai individu didakwa mahu melemahkan kerajaannya. Duterte bercakap dengan atlet itu ketika panggilan menerusi aplikasi Zoom yang disiarkan secara langsung di televisyen tidak lama selepas Hidilyn tiba di Manila dari Tokyo. Isnin lalu, wanita itu mencipta sejarah di Tokyo 2020 apabila menjadi atlet pertama menang pingat emas Sukan Olimpik untuk negaranya. Sambil mengucapkan tahniah di atas pencapaian itu, Duterte menawarkan ganjaran RM254,200 (3 juta peso) daripada duit poketnya sendiri dan meminta Hidilyn supaya melupakan perkara buruk pada masa silam. "Anda sudah menang pingat emas dan lebih baik anda membiarkan apa yang berlalu berlalu pergi," katanya kepada atlet berusia 30 tahun itu. Hidilyn yang memakai pakaian seragam Tentera Udara Filipina bersama pingat emas di leher ketika duduk di satu bilik di lapangan terbang, berterima kasih kepada Duterte sebelum memberi tabik hormat kepadanya. Pada 2019, pemenang pingat perak di Rio 2016 itu antara puluhan nama disenaraikan dalam carta dikeluarkan jurucakap Duterte sebagai antara individu didakwa merancang melemahkan pentadbirannya. Senarai nama itu yang tidak didedahkan jenis tuduhan merangkumi beberapa nama pemimpin politik pembangkang, pemimpin gerila, wartawan dan sebagainya. Presiden itu secara terbuka meminta orang ramai melaporkan salah laku terutama berkaitan dengan pengedaran dadah dan ada masanya berakhir dengan hukuman mati atau penjara. "Saya terkejut. Saya bimbangkan keselamatan diri serta keluarga," kata Hidilyn ketika itu. Pada minggu ini, jurucakap terbabit yang kini ketua penasihat perundangan presiden, Salvador Panelo berkata, dia sudah mengesahkan Hidilyn tidak terbabit dalam gerakan anti kerajaan, tetapi diikuti oleh ramai suspek di media sosial. sumber : HMetro
|