|
Wanita Negeri Sembilan 'Queen Control'?
Kedudukan Ibu Soko memperlihatkan Adat Perpatih memberi hak bersuara kepada wanitanya.
KUALA LUMPUR: Kurang faham mengenai Adat Perpatih yang diamalkan di Negeri Sembilan menimbulkan tanggapan negatif terhadap wanita yang berasal dari negeri berkenaan antaranya mereka bersikap 'queen control'.
Ketua Satu Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN), Nisah Haron, berkata tanggapan sedemikian timbul kerana umum melihat wanita negeri itu akan menguasai harta keluarganya, paling lantang dan takut didekati lelaki bukan senegeri.
" Sejak zaman berzaman ramai mengatakan apabila lelaki meninggal dunia, semua harta akan jatuh kepada isterinya tanpa sesiapa boleh menuntut.
"Walhal itu hanya salah faham berkaitan pewarisan tanah adat, bukannya pewarisan tanah biasa," katanya.
Tegasnya, tanah adat dan tanah biasa adalah dua perkara berbeza kerana menerusi pewarisan tanah adat, anak perempuan mewarisinya daripada ibu atau emak saudara sebelah ibu.
Hal ini tegasnya, termaktub dalam undang-undang tanah adat di Negeri Sembilan dan juga di wilayah yang mengamalkan Adat Perpatih, namun tanah lain, bebas diwariskan kepada waris lelaki atau perempuan mengikut hak masing-masing atau mengikut pembahagian faraid.
"Salah faham juga timbul mengenai pewarisan tanah adat di mana dikatakan ia menjadikan saudara lelaki merempat kerana tidak layak mewarisi harta.
"Ada juga kenyataan mendakwa Adat Perpatih menyalahi syarak kerana dalam kaedah fiqah harga pusaka haruslah dilebihkan kepada waris lelaki berbanding perempuan dengan nisbah 2:1, hingga akhirnya lelaki dikatakan dayus kerana membiarkan hal ini berlaku," katanya.
Nisah Haron. - Foto fail NSTP
Justeru katanya, perkara dan kedudukan wanita yang mengamalkan Adat Perpatih ini harus diperjelaskan bagi memastikan orang tidak keliru dengan cerita yang kurang benar.
Peranan Ibu Soko
"Dalam Adat Perpatih, wanita dimuliakan dan mereka yang tua dalam keluarga atau sukunya, ia digelar "Ibu Soko".
"Kalau di Tanah Minangkabau, dinamakan 'Bundo Kanduang' (Bonda Kandung) di mana dia bersifat 'matriarch' dalam kelompok sukunya, iaitu wanita berilmu, berpengalaman dan amat dihormati.
"Peranannya menyokong penyandang pesaka adat seperti Buapak, Lembaga dan Datuk Undang, malah dikatakan turut berperanan di belakang tabir kepada pemilihan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan," katanya.
Justeru tegas Nisah, tidak hairanlah peranan wanita di sebalik Buapak, Lembaga dan Undang itu sangat besar dan Ibu Soko bukan saja hadir dalam setiap permuafakatan, tetapi mempunyai suara dalam menentukan ketua dipilih dalam menjalankan tugas di wilayah mereka.
"Peranan dan kedudukan Ibu Soko ini ditenggelamkan dengan kisah sensasi kononnya wanita Negeri Sembilan queen control dan pewarisan harta yang tidak benar.
"Wanita mewarisi tanah adat daripada leluhur mengikut nasab sebelah ibunya bagi menjamin masa depan daripada teraniaya sekiranya tidak berkahwin.
"Jika sudah berkahwin pula tetapi kematian suami atau berlaku perceraian, pewarisan ini bagi mendapat tempat berlindung diri dan juga anak-anaknya," katanya.
Bagaimanapun kata Nisah, pemilikan tanah adat ini unik kerana ia bukan bersifat pemilikan individu tetapi dimiliki secara bersama oleh waris perempuan yang lain.
Ini bermaksud tanah adat itu akan diwarisi anak perempuan, anak saudara perempuan (daripada adik beradik perempuan) dan dibolehkan membina rumah tambahan jika perlu dan mengusahakan tanah itu.
Nisah berkata, bagi waris lelaki pula, rumah dan tanah masih boleh digunakan tetapi tidak memilikinya, namun sekiranya waris lelaki itu tiada tempat berteduh, tugas waris wanita memastikan saudara lelakinya, anak buah lelakinya diberikan perlindungan.
"Seperti kata perbilangan, cicir dipungut, hilang dicari, sehinggalah mereka itu mampu kembali berdikari.
"Demikianlah pentingnya kedudukan wanita yang diberikan oleh adat di mana apabila menjadi isteri, dia dilindungi suaminya yang dalam adat dipanggil orang semenda (pertalian keluarga melalui perkahwinan).
Peranan dan kedudukan Ibu Soko ini ditenggelamkan dengan kisah sensasi kononnya wanita Negeri Sembilan ‘queen control’ dan pewarisan harta yang tidak benar. - Foto fail NSTP
"Bagi wanita bertaraf ibu saudara, Ibu Soko atau 'matriarch', dia pula yang melindungi anak-anak buahnya dan mereka yang berhak untuk diberikan perlindungan sekali gus menyokong antara satu sama lain," katanya.
Dekati generasi lama
Tidak dinafikan, pada zaman di mana adat semakin tidak diamalkan, pengaruh luar mula bertapak, apa yang diingati adalah sisi-sisi negatif tanpa mengkaji cerita sebenar.
Katanya, ia juga kesan daripada anak muda semakin menjauhkan diri daripada merapati generasi lama dan tidak cuba untuk mempelajari daripada mereka berbanding buku semata-mata.
"Apabila tiada lagi 'sembang-sembang' atau berbicara dengan orang-orang lama, ilmu dan pengalaman mereka tidak dapat diwariskan.
"Tidak sama membaca teori dalam buku sekiranya amalan dan praktisnya tidak dilihat dengan mata kepala sendiri, akhirnya berlaku kesendengan terhadap pemahaman dan kekeliruan ini tidak pula cuba dicari puncanya.
"Lantas, terjadi pemahaman bahawa adat ini melanggar syarak, walhal ia dua aspek berbeza, malah dalam Islam pernah menggariskan bahawa tanah amanah terkeluar daripada himpunan harta yang boleh difaraidkan," katanya.
Nisah yang juga pengarang sastera berkata, beliau tidak ramai yang mahu menyentuh isu Adat Perpatih dalam karya kerana kebanyakan penulis gemar kepada subjek universal dan tidak mahu terikat dengan sesuatu yang lokal.
"Justeru saya membawakan persoalan ini dalam karya misalnya novel Mencari Locus Standi, cerpen "Lemang Nan Sebatang" dan "Aset Istiqamah".
"Saya juga berharap ramai yang akan menyambut peluang menulis dalam sayembara penulisan cerpen mengenai Adat Perpatih yang bakal diumumkan sedikit masa lagi.
"Ini diharap dapat menambah korpus penulisan kreatif mengenai Adat Perpatih dalam usaha merapatkan jurang antara pengamal dan juga persepsi keliru tentang aspek budaya yang unik di Negeri Sembilan.
"Apabila ditangani dengan baik, Adat Perpatih boleh menjadi produk pelancongan dan bahan yang penting dalam tradisi persuratan di Negeri Sembilan khususnya dan rantau Nusantara amnya," katanya.
Sumber:https://www.bharian.com.my
@ifanonline |
|