|
Rome: Cristiano Ronaldo menyelar laporan bahawa dia berusaha untuk kembali ke Real Madrid, sejam selepas jurulatih Carlo Ancelotti turut menyatakan dia tidak akan mengambil semula penyerang Juventus itu ke Sepanyol.
Menerusi hantaran di Instagram, Ronaldo berkata "kisahnya di Real Madrid sengaja ditulis", sekalipun dia tidak menyatakan dengan jelas bahawa dia tidak melihat peluang untuk keluar dari Juve.
Dia berkata laporan berkenaan "tidak menghormati" dirinya dan "semua kelab yang terbabit dalam khabar angin ini, begitu juga kepada pemain dan kakitangan mereka."
"Terdapat beberapa laporan membabitkan saya dengan beberapa kelab dalam banyak bahasa, dengan tidak ada orang langsung cuba mengambil berat mengenai apa yang berlaku sebenarnya," tambah Ronaldo.
"Saya tidak boleh duduk diam lagi ketika ini dan mahu memaklumkan saya tidak boleh membenarkan orang terus menjaja nama saya.
"Saya akan kekal fokus dengan karier dan kerja, komitmen dan bersedia menghadapi semua cabaran akan datang."
Ronaldo menjadi tajuk utama dengan beberapa khabar angin membabitkan masa depannya pada musim panas ini.
Semalam akhbar Itali, Corriere dello Sport berkata ejen pemain itu, Jorge Mendes berkata pemain berusia 36 tahun itu mendapat tawaran Manchester City.
Selain beberapa laporan menyatakan Paris Saint-Germain turut berminat menggunakan khidmat pemain itu.
Terdahulu, Ancelotti berkata Real Madrid tidak berminat membawa kembali penyerang yang membantu kelab itu menjulang empat kejuaraan Liga Juara-Juara.
"Cristiano adalah legenda Real Madrid dan dia adalah pemain yang saya sanjung serta sayangi. Saya tidak mempertimbangkan untuk menandatanganinya. Kami memandang ke hadapan," kata Ancelotti.
HMetro
|
|