Seorang pelajar berusia 22 tahun di Itali mencacah tatu dengan imej kod QR sijil vaksin Covid-19 di lengannya.
Andrea Colonnetta berkata, dia tidak berfikir panjang untuk mendapatkan tatu berkenaan selepas berbincang dengan pelukis tatu, Gabriele Pellerone.
Kredit foto: Khaleej Times
"Ia adalah sesuatu yang asli dan saya suka tampil berbeza," katanya kepada akhbar Calabria.
Kini, pada lengannya terdapat kod QR yang juga pas hijau rasmi dikeluarkan kerajaan Itali.
Pas berkenaan adalah bukti status berkaitan Covid-19 sama ada sudah menerima vaksin, baru sembuh daripada jangkitan Covid-19 atau disahkan negatif dalam tempoh 48 jam.
Sejak 6 Ogos lalu, pas berkenaan diperlukan untuk memasuki beberapa lokasi awam seperti panggung, muzium atau restoran.
Colonnetta yang sudah menerima dos lengkap vaksin Covid-19 mengakui ibu bapanya kurang memahami tindakan yang dibuat.
"Mereka meminta saya supaya berfikiran jauh sebelum melakukan sesuatu," katanya.
Satu video di media sosial menyaksikan Colonnetta memasuki restoran McDonald's dan mengangkat lengannya serta mengambil gambar tatu di lengannya.
Sumber: Harian Metro
|