Pemerintah China mengharamkan stesen penyiaran negara itu memaparkan imej lelaki berpewatakan lembut dan mengarahkan untuk mempromosikan ‘budaya revolusi’ bagi memperluaskan kempen kawalan terhadap perniagaan dan masyarakat serta menegakkan moral rasmi, lapor saluran berita Fox News.
Presiden Xi Jinping mengarahkan pelaksanaan ‘pembaharuan nasional’ itu dengan Parti Komunis China mengawal ketat perniagaan, pendidikan, budaya dan keagamaan dalam visi untuk menjadikan masyarakat China sebagai lebih kuat dan sihat.
Kredit foto: AP/Voice of America
Menurut undang-undang televisyen negara itu, stesen penyiaran perlu ‘menghentikan tayangan imej lelaki yang bersifat keperempuanan’.
Mereka turut diarahkan untuk menggunakan istilah berbentuk penghinaan kepada golongan itu yang dikenali sebagai ‘niang pao’ yang bermaksud ‘bersikap keperempuanan’.
Ia menggambarkan selebriti China yang dipengaruhi imej keperempuanan daripada penyanyi dan pelakon dari Korea Selatan serta Jepun gagal dalam menggalakkan golongan lelaki muda di negara itu untuk bersifat maskulin.
Selain itu, stesen penyiaran turut perlu berhenti mempromosikan ‘selebriti internet yang tidak sopan’ serta sikap mengagumi kekayaan golongan tersebut.
Mereka sebaliknya, perlu mempromosikan budaya tradisional Cina, revolusi serta sosialis yang maju.
Selain itu, pemerintah turut mengenakan kawalan ketat terhadap selebriti dengan meminta stesen penyiaran untuk tidak menyiarkan selebriti yang ‘melanggar ketenteraman awam’ atau ‘tidak bermoral’.
Kredit foto: Dawn
Pelakon popular, Zhao Wei sebelum ini turut dilaporkan dipadam maklumatnya dari internet dan semua platform penstriman kerana dikatakan sering terlibat dengan kontroversi.
Sumber: Kosmo |