[size=0.8]Oleh Zuliaty Zulkiffli - September 12, 2021 @ 11:52am[email protected]
Nellywaty Nooraini Azmi menunjukkan roti jala Jalur Gemilang yang mendapat tempahan ramai sempena sambutan Hari Malaysia. - NSTP/Zuliaty ZulkifflI
ALOR SETAR: Nellywaty Nooraini Azmi, 41, tidak menyangka cubaannya menghasilkan roti jala Jalur Gemilang bersaiz jumbo terus mendapat sambutan menjelang sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini.
Katanya, dia menerima banyak tempahan ketika sambutan Hari Kebangsaan lalu dan tidak menyangka roti jalanya terus mendapat sambutan di luar jangkaan.
Nellywaty berkata, sebelum ini kek Jalur Gemilang menjadi pilihan bagi meraikan sambutan Hari Kebangsaan atau Hari Malaysia, namun kini ramai yang memilih roti jala kerana ia lebih mengenyangkan.
Katanya, dia memerlukan sekurang-kurangnya enam jam untuk menyiapkan satu set roti jala bercorak bendera kebangsaan bersaiz besar itu sambil dibantu anak, Nur Indah Qistina Muhamad Suhail, 12.
"Untuk satu set roti jala Jalur Gemilang, saya guna dua kilogram tepung dibancuh Nur Indah, manakala suami, Che Munir Che Mansor, 46, mengendalikan kuah serta menghantar pesanan di kawasan berdekatan.
"Setiap hari, saya hanya mampu menerima dua tempahan kerana setiap tempahan mengambil masa hampir dua jam sebelum dihantar kepada pelanggan. Ada tempah untuk hidangan sendiri atau dihantar kepada keluarga selain hadiah hari lahir untuk sahabat dan ahli keluarga," kata ibu dua anak ini.
Nellywaty berkata, sebelum ini dia hanya menerima tempahan roti jala saiz normal dengan menyediakan pelbagai jenis kuah seperti gulai ayam, daging, ubi, coklat, pandan dan kastad serta kuah durian.
Bagaimanapun, katanya, sejak mempromosi roti jala Jalur Gemilang dalam Facebook (FB) miliknya, ramai membuat tempahan, namun ada yang terpaksa ditolak kerana kekangan masa.
"Saya guna empat warna tema untuk Jalur Gemilang, iaitu kuning, putih, merah dan biru dengan pewarna makanan yang dibenarkan dan berkualiti. Paling susah nak hasilkan adalah corak bintang dan bulan.
"Susunan baris merah dan putih juga perlu dilakukan berhati-hati kerana bimbang ia tidak nampak cantik seperti corak bendera asal," katanya bersyukur perniagaan diusahakan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu dapat membantu menyara kehidupan keluarga.
Katanya, sebelum ini dia berniaga laksa bersama ibu bapanya di warung di Jalan Putra, dekat sini, namun perniagaan terjejas akibat pandemik COVID-19.
"Saya tak sangka roti jala diterima ramai kerana nak buat sendiri memang agak rumit, malah nak mendapatkan corak jala juga memerlukan kesabaran tinggi.
"Setakat ini saya menerima lima tempahan roti jala Jalur Gemilang bersaiz jumbo untuk sambutan Hari Malaysia, Khamis ini dan saya puas hati kerana kebanyakan yang menempah mengulangi tempahan," katanya menjelaskan tempahan turut diterima dari Perlis, kebanyakannya daripada pejabat kerajaan, sekolah dan individu.