Nureen Naimah berkata, dia dan suaminya diijabkabulkan di Masjid Kampung Sadek Kupang, Baling, Kedah pada 1 Februari tahun lalu.
Mengikut perancangan asal, Nureen Naimah mahu mengadakan majlis persandingan di sebelahnya pada Mac tahun lalu dan di kampung suaminya pada Mei, tetapi kedua-keduanya terpaksa dibatalkan kerana terikat dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0.
Katanya, pada mulanya mereka memang kecewa apabila tidak dapat teruskan majlis kerana tempahan serta bayaran pendahuluan sudah dibuat.
"Bagaimanapun, saya dan suami akhirnya reda dapat melangsungkan akad nikah saja.
"Biarpun tidak dapat bersanding, Allah beri rezeki lain buat kami iaitu anak kembar yang lahir pra matang pada 4 Oktober tahun lalu.
"Ikutkan, kami mahu adakan aqiqah saja untuk mereka tetapi kebetulan, kembar suami berkahwin pada Ogos tahun lalu dan merancang mengadakan majlis pada Januari.
"Jadi, saya dan suami bersanding sekali dengan membawa bayi kembar kami yang ketika itu berusia tiga bulan," katanya yang mengadakan majlis persandingan di Dewan Mes Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini, dengan jemputan terhad.
Nureen Naimah berterima kasih kepada semua yang mendoakan kebahagiaannya dan suami.
Menurutnya, ramai memberi komen positif, tetapi ada netizen membuat andaian sendiri dengan mengatakan mereka adalah duda dan janda yang berkahwin.
Katanya, mereka berstatus bujang sebelum berkahwin dan diberi rezeki bunting pelamin sebelum dapat menimang cahaya mata tidak lama selepas berumah tangga.