Dua anggota K-Clique, Noki dan MK yang juga calon awal Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 mempunyai aura serta pesona tersendiri hingga menjadi kegilaan ramai.
Tidak kira atas kapasiti berkumpulan atau bergerak solo, niat Noki atau MK hanya mahu berkongsi bakat.
Kredit foto: IG MK & Noki
Bagaimanapun, timbul gosip bertebaran mendakwa, Noki atau nama penuhnya, Ahmad Ikhwan Aji mencemburui populariti diraih MK.
Ketika MK berjinak-jinak dalam dunia lakonan apabila membintangi drama The Hotel, Noki turut membintangi drama Oh My Hantaran arahan Shuhaimi Lua, terbitan Tanah Beris Film Production yang bakal menghiasi slot Diandra di TV9, tidak lama lagi.
Kredit foto: IG Noki
"Sebenarnya, tiada istilah cemburu. Ia lebih kepada bersaing secara sihat dan meneruskan survival. Ikutkan MK lagi ramai pengikut dalam Instagram (IG) hingga mencecah jutaan.
"Saya pula hanya ratusan ribu pengikut dalam IG. Soal berlakon saya anggap lebih kepada mencuba nasib. Lagipun, MK turut membintangi drama Oh My Hantaran," katanya kepada BH Online.
Noki yang sedang menjalani penggambaran drama Oh My Hantaran di Sungai Lembing, Kuantan turut menepis dakwaan, tidak sebulu apabila menghasilkan single berjudul Payung Pelangi yang dilancarkan di platform digital terpilih sejak 9 September lalu.
|