|
Hari yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba!
Penantian 10 tahun penyanyi Azmi Saat berakhir apabila dia kini sudah bergelar bapa selepas isterinya, Naziah Muhammad selamat melahirkan cahaya mata lelaki pada Selasa.
Foto: IG
Azmi atau nama sebenarnya Khairul Azmi Saat, berkata kelahiran bayi yang diberi nama Khairul Afnan itu merupakan hadiah terbesar sempena hari ulang tahun kelahirannya yang ke-34.
"Bersyukur sangat, macam-macam perasaan ada... gembira dan sebak. Apabila dengar tangisan pertama bayi tu, kami menangis.
"Bayi saya selamat dilahirkan secara pembedahan pada pukul 9.09 pagi. Kira-kira 40 minit saya teman isteri dalam bilik pembedahan," katanya ketika dihubungi mStar.
Ujar vokalis kumpulan Caliph Buskers itu, isterinya melahirkan anak mereka secara pembedahan atas saranan dan nasihat doktor bagi mengelakkan sebarang komplikasi.
"Bayi dilahirkan secara pembedahan sebab tak nak sebarang komplikasi berlaku. Sebab kalau bersalin normal risau ada apa-apa berlaku.
"Jadi doktor sarankan bersalin secara bedah dan kami pilih tarikh sama dengan hari lahir saya iaitu hari ni," katanya.
Selain itu Azmi juga bersyukur kerana dapat menemani isteri semasa proses menyambut kelahiran anak mereka.
"Alhamdulillah saya dibenarkan untuk masuk bersama dengan isteri dalam bilik pembedahan.
"Excited, sebak sebab tak sangka... yerlah kami pernah hampir putus asa. Tak nak berharap fikir pasal anak, tapi akhirnya Alhamdulillah, Allah bagi," ujarnya.
Untuk rekod, Azmi mendirikan rumah tangga bersama isterinya Naziah Muhammad pada 2011. -CARI
Sumber: mStar Online
|
|