|
Tiada istilah terburu-buru apabila memilih menamatkan zaman bujang dalam usia masih muda, malah pelakon Elisya Sandha percaya ada hikmah tersembunyi di sebalik penyatuan cinta yang terjalin sejak di bangku sekolah.
Awalnya, majlis akad nikah Elisya, 22, dan suami, Uzair Haqimy, 25, dirancang akan berlangsung pada Februari, tahun depan. Namun, dipercepatkan enam bulan apabila pasangan itu memilih disatukan sebagai suami isteri pada 21 Ogos lalu di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak.
Pelakon yang berjaya membolosi pencalonan awal bagi kategori Pelakon TV Wanita Popular dan Gandingan Serasi Drama Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 itu mengakui, perkahwinannya dengan anak penerbit terkenal, Sheila Rusly itu mengejutkan ramai pihak.
![](https://uf.cari.com.my/forumx/mforum/portal/202109/30/125855bpuek42zu40hkeue.png) Foto: IG
Malah, kakaknya, Fasha Sandha sendiri tidak menyangka Elisya akan mendirikan rumah tangga pada usia masih muda.
"Kun Fayakun. Jadilah, maka jadilah... Saya terima ketentuan takdir dan menerima jodoh pada usia muda.
"Namun, tiada istilah terburu-buru atau paksaan dalam menggalas tanggungjawab sebagai isteri. Saya yakin dengan keputusan yang dibuat. Siapa saya yang mahu menolak takdir yang tertulis.
"Saya percaya tidak salah jika dipercepatkan setiap perkara yang baik. Mendirikan masjid juga digalakkan dalam agama Islam.
"Saya sudah mengenali suami suami sejak di bangku sekolah kira-kira lima tahun lalu. Saya percaya, suami adalah insan terbaik yang pernah hadir dalam hidup saya," katanya kepada BH Online.
Selepas lebih sebulan menggalas tanggungjawab sebagai isteri, pelakon Pujaan Hati Kanda dan Nasi Kerabu Untuk Cik Abe itu mengakui, sentiasa teruja mengharungi kehidupan berkeluarga bersama suaminya.
"Saya selalu dengar pasangan suami isteri bercakap soal perkahwinan, betapa indah menikmatinya. Kini, saya merasai apa yang diperkatakan.
"Saya sedar memasuki fasa perkahwinan bukannya mudah. Barangkali, mula keluar warna sebenar apabila hidup sebumbung.
"Namun, apa pun, inilah amanah kami suami isteri untuk menjaganya hingga ke syurga.
"Bergelar isteri menjadi satu momen yang indah. Saya sentiasa berdoa bahtera rumah tangga dalam keadaan harmoni dan membahagiakan," katanya.
Malah, Elisya akui, sudah membiasakan diri mencuba pelbagai resipi masakan baharu pada saat melalui era pandemik.
"Bagai ada hikmah tersendiri. Saya ambil kesempatan belajar pelbagai menu masakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
"Seperti yang sering dimuatkan dalam laman Instagram, saya uji dan cabar diri memasak. Ia bukan hanya untuk menambat hati suami apabila berkahwin, tetapi kepuasan saya juga," katanya.
Soal kerjaya, pelakon drama Hello Jangan Tapau Cintaku itu tetap meneruskan kerjaya seninya seperti biasa.
Kini, Elisya sedang menunggu memasuki lokasi penggambaran drama Oh My Hantaran arahan Shuhaimi Lua bergandingan dengan MK K-Clique untuk siaran TV3.
"Saya meletakkan 100 peratus kepercayaan kepada rezeki. Saya yakin rezeki dikurniakan biarpun sudah bergelar isteri.
"Suami tidak pernah menghalang minat dalam meneruskan kerjaya lakonan. Lagipun, suami bekerja dalam bidang yang sama sebagai pengurus produksi.
" aling utama, sebagai isteri saya harusnya menjaga batasan dan kepercayaan suami," katanya yang merancang mengadakan majlis resepsi di kampung halamannya di Perlis. -CARI
Sumber: Berita Harian
|
|