|
Pelakon, Norman Hakim berkongsi anak terunanya, Danish Hakim yang kini berusia 22 tahun mula bertanya mengenai umur yang sesuai untuk mencari pasangan hidup.
Norman atau nama sebenarnya, Mohamed Norhakim Zaidon, 45, menyarankan kepada anak lelakinya itu untuk mencapai cita-cita terlebih dahulu dan menyerahkan selebihnya kepada Allah SWT.
Kredit foto: IG
"Kali ini, abang Danish memetik mengenai teman hidup. Yang mana dia bertanya sama ada perlu ke pada usianya untuk mencari pasangan hidup? Itu topik utama pada hari ini.
"Untuk memendekkan cerita, pada penghujung perbualan saya meminta Danish untuk fokus kepada impian dan cita-cita terlebih dahulu kerana pasangan yang tepat akan muncul apabila tiba masanya.
"Walau apapun, keputusan dan pilihan terletak pada tangan Danish. Mohon bantuan dan petunjuk dari Allah SWT. Maka, berakhirlah perbualan kami pada hari ini.
"Kami jika duduk bersembang 18 jam pun tak pernah cukup. Perbualan kami juga mengenai pelbagai topik dan tidak berbatas kerana antara ayah dan anak," katanya.
Menurut Norman, lazimnya jadual harian anak sulungnya itu padat dengan jadual mengajar mengaji setiap Selasa hingga Ahad bermula jam 11 pagi hingga jam 11 malam.
Oleh itu, Norman memanfaatkan hari cuti Danish iaitu Isnin untuk bersenam bersama-sama. Selain turut melatih anak lelakinya itu, dia juga berkongsi rutin pemakanan sihat kepada wargamaya.
Biarpun bergelar bapa kepada enam orang cahaya, mata namun Norman dapat mengekalkan bentuk tubuh ketika zaman bujang, malah fizikalnya lebih sasa berbanding sebelum ini.
Ramai pengikutnya di Instagram meninggalkan komen mengagumi tahap disiplin suami Memey Suhaiza itu, dalam menjaga bentuk badannya supaya kekal berotot dan tegap. -CARI
Sumber: Harian Metro
|
|