View: 3504|Reply: 5
|
rakam gambar hidupan liar
[Copy link]
|
|
Merakam hidupan liar
Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN
Terperangkap di dalam selut dalam, diserang binatang buas dan berdepan dengan cuaca tidak menentu menjadi antara rencah kerjaya mereka. Namun, semua itu ditempuh oleh Dereck dan Beverly demi mendapatkan rakaman video dan foto hidupan liar yang terbaik.
AKSI seekor singa membaham kerbau yang dirakamkan.
DERECK dan Beverly Joubert hidup dalam dunia yang dicemburui oleh semua pencinta haiwan di seluruh dunia. Ketika orang lain hanya dapat merasa keterujaan berinteraksi dengan binatang buas di Afrika menerusi kaca televisyen atau menatap gambar di majalah dan jurnal, pasangan ini hidup bersama pemangsa-pemangsa tersebut.
Memang kedengaran indah, tetapi mereka perlu membayar harga yang mahal untuk menikmati pengalaman yang tidak mungkin dapat dibeli dengan wang ringgit itu.
Dereck dan Beverly harus melupakan keselesaan tinggal di rumah dan sentiasa berwaspada dengan ancaman yang datang secara tiba-tiba, selain mengharung perjalanan jauh dan terik matahari untuk sampai ke lokasi penggambaran.
Justeru, peluang untuk bertemu dengan pasangan yang pernah memenangi empat anugerah Emmy dan Peabody di The Garden, Mid Valley tidak disia-siakan.
Mahu berkongsi sebanyak mungkin pengalaman ketika merakam visual dan foto terbaik untuk tatapan peminat dokumentari National Geographic, Dereck dan Beverly memberikan kerjasama yang cukup memuaskan, biarpun masih kepenatan kerana baru beberapa jam tiba di Kuala Lumpur.
Bertemu dan kemudiannya jatuh cinta ketika Beverly baru berusia 19 tahun, kerjaya mereka berdua sebenarnya banyak dipengaruhi oleh minat terhadap haiwan liar, seni fotografi dan filem sejak kecil lagi.
Dereck memberitahu, kegilaan abangnya terhadap lukisan sedikit sebanyak mempengaruhi dirinya untuk menyelami keindahan alam sekeliling yang kemudiannya diluahkan menerusi seni visual.
"Saya pula terlibat dalam industri pelancongan, sebelum melangkah ke bidang yang memberi saya peluang untuk meneliti haiwan secara lebih saintifik menerusi proses penggambaran dan fotografi.
"Tambahan pula, saya mempunyai dua orang abang kembar yang gemar meneroka hutan berhampiran rumah. Kami sering mencari binatang-binatang kecil dan mereka selalu mengusik saya dengan labah-labah.
"Dari situlah, sedikit demi sedikit, minat terhadap binatang dan alam sekitar mula timbul. Lagi pun, saya mempunyai sifat ingin tahu yang cukup tinggi," kata Beverly yang mengakui tidak menerima sebarang latihan fotografi secara formal, sebaliknya semua yang dimilikinya kini hasil daripada belajar sendiri.
PASANGAN suami dan isteri ini sehati dan sejiwa dalam
meneroka dunia hidupan liar.
Berkecimpung dalam kerjaya mencabar ini selama lebih 25 tahun, hasil kerja pasangan ini banyak tertumpu kepada kelompok haiwan pemangsa seperti singa, harimau bintang, harimau, selain gajah serta kerbau.
Alasannya mudah, haiwan pemangsa disifatkan sebagai haiwan paling penting dalam kitaran hidup haiwan liar dan memberi impak besar terhadap ekosistem. Sekiranya pupus, 'bencana' ketidakseimbangan pasti akan berlaku.
"Haiwan pemangsa berperanan memburu dan memastikan populasi binatang buruannya tidak berlebihan. Itulah antara mesej yang ingin kami sampaikan.
"Jika haiwan pemangsa ini dibiarkan menjadi mangsa buruan manusia yang tidak bertanggungjawab, seluruh ekosistem akan terjejas," jelas Dereck dalam slanga Inggeris yang kadangkala agak sukar difahami.
Menurut Beverly, proses pemuliharaan kelompok haiwan pemangsa bukan terhad sekadar di Afrika sahaja. Katanya, ia perlu dilaksanakan di seluruh dunia, antaranya menempatkan haiwan ini ke dalam sistem yang terkawal seperti di taman-taman negara.
Menjadikan haiwan liar dan buas sebagai 'pelakon utama' bukanlah satu kerja mudah. Justeru, selaku pengkaji haiwan, apa juga rakaman yang dibuat amat penting.
"Untuk menikmati keseronokan bekerja dengan haiwan liar, kita perlu membuatkannya berasa selesa dengan kehadiran kita. Kadangkala proses itu sahaja memakan masa enam minggu.
"Keserasian perlu wujud, sehinggalah haiwan-haiwan ini tidak lagi memerhatikan kita. Itulah perkara paling penting untuk bekerja dengan binatang. Jika tidak, mereka tidak mahu berinteraksi dengan kita," kata Dereck sambil memberitahu bahawa haiwan kesukaannya ialah singa kerana menganggap ia sebagai haiwan yang sangat bijak memanifestasikan dirinya dalam dunia hidupan liar.
UNTUK menikmati keseronokan bekerja dengan haiwan liar,
Dereck dan Beverly perlu membuatkan haiwan itu berasa
selesa dengan kehadiran mereka dan kadangkala proses
itu memakan masa enam minggu.
Dereck juga berkata, satu-satu projek biasanya mengambil masa lebih dua tahun untuk proses penggambaran dan enam bulan untuk penyuntingan. Kadang kala, tempoh masa itu akan bertambah sehingga lima tahun bergantung kepada subjek yang ingin dirakamkan.
Misalnya, tempoh merakam aksi harimau kumbang adalah lebih lama kerana sifatnya yang elusif, sukar ditemui dan sering berada di dalam hutan yang tebal.
Perancangan rapi juga perlu dibuat bagi satu-satu projek penggambaran yang lokasinya jauh dan sangat mencabar.
Memandu berjam-jam dan menempuh laluan yang teruk adalah perkara biasa. Adakalanya, mereka mengambil masa sehingga 18 jam untuk membawa semua peralatan ke lokasi tersebut.
Jika lokasi itu memerlukan mereka menaiki kapal terbang, aspek seperti pembinaan kem, sistem pesanan makanan, merancang jaringan komunikasi dan tenaga elektrik menerusi kuasa solar mesti diambil kira bagi memastikan proses penggambaran dapat berjalan lancar.
"Tiada apa yang kami rindukan apabila berada di lapangan. Mungkin juga kadang kala berasa terasing dan tiada interaksi dengan orang lain. Sebab itulah, kami pergi ke bandar setahun sekali atau dua kali untuk menonton filem. Pendek kata, kami gembira dengan apa yang dilakukan sekarang," ujar Dereck.
Adakah lebih mudah atau lebih sukar untuk bekerja bersama pasangan? Kedua-duanya, mempunyai jawapan yang hampir sama.
"Saya sangat bertuah kerana boleh menghabiskan masa bersama. Seronok dapat mencabar antara satu sama lain bagi menghasilkan kerja terbaik dan memberi sokongan.
"Dengan cara inilah, hubungan kami berkembang. Memang ada masanya, kami menghadapi waktu-waktu sukar dan tidak sependapat. Tetapi semua itu harus diketepikan kerana kami mempunyai matlamat yang sama iaitu meluahkan permasalahan dalam bentuk filem, fotografi atau tulisan yang dapat memberi impak kepada audiennya. Namun, saya tidak kata ia sesuatu yang mudah," jelas Beverly yang memberitahu fotografi adalah medium untuk dia melegakan tekanan. Bagi Dereck pula, tiada langsung aspek negatifnya.
"Bayangkan jika anda berpeluang untuk hidup dengan wanita yang dicintai. Anda diberi pilihan sama ada untuk pergi kerja pada waktu pagi, kemudian berjumpa semula pada waktu malam atau menghabiskan sepenuh masa dengannya. Saya rasa, anda tahu apa jawapan saya," kata Dereck yang mempunyai hobi menyelam dan ke lokasi selaman terkenal seluruh dunia seperti Mexico dan negara-negara Asia. |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
|
tak takut kena baham ke
|
|
|
|
|
|
|
|
NG photogs/videos mmg tahap2 gempak! |
|
|
|
|
|
|
| |
|