|
Al-Quran 500 tahun
Oleh Amir Abd Hamid
SERDANG: Senaskhah al-Quran tertua di rantau Asia Tenggara berusia hampir 500 tahun berasal dari Makasar, Sulawesi, Indonesia adalah antara barangan yang akan dipamerkan pada Pameran dan Lelongan Barangan Antik (PLBA) 2008 pada 24 hingga 26 Oktober ini.
Bertempat di Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam, pameran dan lelongan dianjurkan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Heritage Auction House menampilkan pelbagai barangan antik yang sukar ditemui seperti keris berusia lebih 1,000 tahun.
Antara barangan lain termasuk radio terawal dicipta di Jerman (radio polyphone), pelita minyak tanah zaman Ratu Victoria, kain cindai, kain tenunan, acuan membuat duit emas dari Aceh, koleksi mesin taip buatan pada 1913 hingga 1915 dan manuskrip Melayu lama.
Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM, Profesor Madya Che Ibrahim Salleh, berkata penganjuran itu hasil usaha pelajar Sarjana Komunikasi Korporat fakulti itu untuk memenuhi keperluan subjek Perhubungan Awam Lanjutan (COM 5321).
“Untuk subjek COM 5321 ini, pelajar diwajibkan menganjurkan sesuatu majlis sebagai latihan amali kepada mereka.
“Selepas berbincang pelajar ini bersetuju mengadakan Pameran dan Lelongan Barangan Antik 2008 dengan mendapat kerjasama penuh Muzium Sultan Alam Shah dan pelelong berlesen profesional, Mohd Radzuan Jamaluddin,” katanya pada sidang akhbar sempena penganjuran itu di sini, semalam.
Hadir sama pensyarah Jabatan Komunikasi UPM, Dr Siti Zobidah Omar; Penyelia Program PLBA 2008, Dr Muhammad Pauzi Abd Latif; Pengerusinya, Iskandar Jaafar dan Kurator Kanan Muzium Sultan Alam Shah, Mohd Lofti Naza.
nanti bila aku dapat gambaq quran tu aku tepek wokeyyyy... |
|