|
Edited by Rockafella at 26-10-2021 09:56 PM
Berpindah ke rumah baru adalah perkara yang sangat mengujakan buat pasangan suami isteri yang baru sahaja berkahwin seperti kami. Syukur, baru-baru ini suamiku dapat membeli sebuah rumah lelong di tepi jalan di sebuah kampung. Dari luar, rumah ini agak besar dan mewah, namun di dalamnya sudah banyak yang mereput. Maklumlah, rumah ini sudah ditinggalkan berbelas tahun. Maka, banyaklah proses baik pulih yang kami perlu lakukan sebelum berpindah masuk sepenuhnya.
Keadaan rumah agak kusam dan seram. Sekali sekala terasa seperti ada yang memerhatikan dari jauh dan bila rasa ralit melakukan sesuatu perkara, akan terdengar seperti rumah ini riuh dan meriah. Hakikatnya tidak. Mungkin perasaan aku sahaja. Hari pertama membaiki rumah kami, hanya ada aku dan suami.
"Kita kena repair bahagian dapur dulu ni Yang. Dapur penting, nanti senang awak nak masak," kata suami pada aku.
"Yelah," aku menjawab sambil memandang siling dapur yang sudah mereput dek kerap dibasahi air hujan.
Suami memberiku tugas untuk menarik siling-siling lama tersebut sambil dia menukang beberapa benda. Lalu aku mencapai tangga dan mula memanjat.
"Harap-haraplah tak ada tikus, dahlah aku geli dengan tikus. Eeee....!' aku merungut kecil.
Tangan menyentuh dan cuba menarik siling reput tersebut. Perlahan-lahan aku koyakkan.
"Ahh, syoknya tarik benda ni," aku berkata dalam hati.
Sedang seronok menarik kepingan siling lama itu, aku terlihat seperti ada tulisan di atasnya. Jenuh aku perhati dan cuba membaca tulisan itu. Tertulis di situ sebuah nama dan juga tarikh. Aku tarik lagi, keluar lagi sebuah nama lain dan juga tarikh berbeza.
"Apa benda pulak ni?" ujar hatiku.
Setelah hampir separuh siling tersebut aku carikkan, sudah enam nama dan tarikh aku jumpa. Hati sudah mula berasa ada sesuatu yang tidak kena. Aku turun dan capai laptop di bilik. Segera aku menaip nama-nama tersebut di enjin pencarian Google. Aku tersentak! Nama-nama tersebut adalah milik beberapa orang pelajar yang pernah dilaporkan hilang beberapa tahun dulu. Tarikh itu pula adalah tarikh mereka dilaporkan hilang. Peluh mula membasahi wajah, tanda aku mula dilanda kegelisahan.
"Sayang!" aku memanggil suamiku yang berada di luar. Aku segera jelaskan apa yang aku jumpa tadi. Tanpa berfikir panjang, suamiku terus mendail nombor polis.
Selang setengah jam kemudian, beberapa anggota dan pegawai polis tiba dan terus melakukan pemeriksaan di siling tersebut. Kami berdua diarahkan menunggu di ruang makan yang bersebelahan dengan dapur, bersama dengan seorang pegawai polis yang baru sahaja selesai menanyakan beberapa soalan kepada kami. Tidak lama kemudian, datang seorang pegawai polis ke arah kami.
"Tuan, betul milik manusia!" katanya kepada pegawai polis yang berada bersama kami.
"Apa yang milik manusia?" ujar aku dalam keadaan bingung.
"Puan rasa apa yang puan tarik tadi, yang puan sangkakan siling?"
Aku tergamam, berpandangan dengan suami. Aku cuba bersuara tapi rasa tersekat di dada.
"Ya, itu adalah kulit manusia," kata pegawai polis berkenaan.
Allah, rasa gelap dunia aku sekejap. Rasa hendak pitam, patutlah aku rasa asyik sangat sewaktu menarik kepingan 'siling' tersebut. Rupanya bukan siling, tetapi kulit manusia yang telah dikeringkan sehingga berupa seperti papan nipis. Polis minta kami berpindah ke rumah lain buat sementara waktu, untuk polis menjalankan siasatan. Aku demam teruk selepas kejadian tersebut. Kami berdua tinggal di rumah mertuaku untuk seketika.
Beberapa hari kemudian, polis ada memberitahu bahawa mereka turut menjumpai beberapa lagi bahagian anggota badan manusia seperti gigi, kuku, dan tulang-tulang kecil. Tetapi kesemua bahagian ini telah diawet dan dijadikan medium atau bahan pembinaan rumah ini.
Ngeri dan jijik bagiku. Siapakah pelakunya? Apa motifnya? Pihak polis sendiri masih dalam keadaan tertanya-tanya, oleh kerana rumah ini telah pun dibiarkan kosong belasan tahun dulu. Pemilik asalnya pun telah meninggal dunia.
Aku dan suami bersetuju untuk melepaskan rumah tersebut dan membeli rumah yang lain. Kejadian tragis seperti ini, tidak pernah aku sangkakan akan terjadi terhadap aku. Bila memandang tangan sendiri, aku tidak akan lupa sentuhan tangan ini di 'siling' tersebut.
----‐----------------------------------------------
Penafian : Cerita ini adalah rekaan semata-mata. Tiada kena mengena dengan sesiapa yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia.
Sumber: Naziera Afandi
NOTA KAKI - Korang ada cerita seram, mistik atau yang seumpama dengannya nak dikongsikan tetapi tak mahir menulis dalam bentuk karangan/artikel? PM Rockafella, sedia membantu bila-bila masa.
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
Rate
-
1
View Rating Log
-
|