|
Buang rasa malu
Testosteron adalah sejenis hormon yang dihasilkan buah zakar (testis) lelaki yang mempunyai beberapa fungsi penting sepanjang hayat seseorang lelaki.
Hormon ini bertanggungjawab ke atas ciri-ciri seksual sekunder seseorang lelaki seperti pertumbuhan rambut di badan dan pertumbuhan kemaluan serta pertukaran suara. Ia juga memainkan peranan dalam penghasilan benih sperma dan proses lonjakan pertumbuhan.
Kajian yang dijalankan di Lembah Klang dan di Sarawak mendapati bahawa pada setiap masa, atau kadar kelaziman, masalah kekurangan testosterone berlaku kepada hampir 20 peratus lelaki yang berusia 40 tahun dan ke atas.
Masalah ini memberikan satu impak kepada masyarakat umum kerana pada usia 40 tahun ke atas, ramai lelaki memainkan peranan penting sebagai ketua keluarga dan berada di kemuncak karier sebagai pemacu ekonomi negara.
Oleh itu, masalah kekurangan testosteron ini perlu diberikan perhatian.
Pakar Perunding Urologi Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM), Dr Ngoo Kay Seong berkata, tahap testosterone berbeza-beza bagi setiap lelaki.
MASALAH seksual antara gejala kekurangan testosteron.
"Secara am, paras normal berada pada julat di antara lapan hingga 29 nanomol per liter.
"Dalam kalangan lelaki dewasa yang sihat, tahap testosteron akan berkurangan apabila usia lanjut bermula dari usia lewat 30-an sehinggalah 80 tahun," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Menurutnya, masalah kekurangan hormon testosterone ini boleh berlaku sejak lahir dan biasanya ini dikaitkan dengan masalah genetik seperti sindrom Kallmann dan sindrom Klinefelter.
"Punca-punca lain termasuk kecederaan atau ketumbuhan di otak atau kelenjar pituitari, dan kecederaan atau barah di buah zakar atau pembedahan pengasian (buang buah zakar).
"Rawatan kemoterapi dan penggunaan sesetengah ubat secara kronik termasuk salah guna hormon perangsang juga boleh mengakibatkan gejala ini.
"Namun demikian, yang mendatangkan masalah adalah dalam kalangan lelaki dewasa yang mempunyai masalah obesiti dan penyakit metabolik lain seperti kencing manis dan kolesterol tinggi," katanya.
Beliau berkata, secara umum, terdapat dua kumpulan gejala yang dikaitkan dengan kekurangan hormon iaitu tanda-tanda seksual dan bukan seksual.
KEKURANGAN testosteron boleh beri kesan kepada prestasi kerja.
"Gejala seksual termasuk mati pucuk, kurang dorongan seks atau libido, kurang upaya untuk zakar mengeras secara spontan pada sebelah pagi (morning erections) dan kesukaran mencapai puncak syahwat (orgasm).
"Tanda-tanda bukan seksual pula adalah seperti sentiasa berasa penat dan cenderung mengantuk, gangguan konsentrasi, kemurungan, kekurangan daya stamina dan kesejahteraan hidup. Ada juga yang melaporkan gangguan terhadap prestasi kerja," katanya.
Kekurangan testosteron boleh memberi pelbagai kesan terhadap fizikal termasuk kemerosotan jisim otot-otot dan tenaga otot badan, kerapuhan tulang, pertambahan jisim lemak badan, peningkatan ukur-lilit pinggang, kekurangan pertumbuhan rambut seperti di dagu dan badan, buah zakar (testis) mengecil dan ada kalanya, bengkak payu dara.
Jelasnya, terdapat beberapa kaedah rawatan yang sesuai untuk menangani masalah kekurangan hormon ini termasuk mengamalkan gaya hidup sihat, hindari tabiat merokok atau minuman keras dan pastikan berat badan berada pada paras normal.
"Bagi mereka yang bergejala, rawatan yang disyorkan adalah Terapi Penggantian Testosteron dengan menggunakan tiga kaedah utama iaitu pengambilan kapsul testosterone undecanoate, suntikan testosterone undecanoate dan gel testosteron.
"Bukan semua rawatan terapi ini sesuai untuk semua lelaki. Paling penting sebelum memulakan rawatan, pesakit diberi kaunseling mengenai ekspektasi pesakit, kesan sampingan hormon gantian dan kekerapan berjumpa pegawai atau pakar perubatan untuk menilai paras hormon," katanya.
Jelasnya, kesedaran mengenai penyakit kekurangan testosteron ini masih kurang dalam kalangan masyarakat.
"Rata-rata, ramai yang belum mengetahui mengenai penyakit ini termasuk juga dalam kalangan pengamal perubatan.
"Berasa segan atau malu juga salah satu faktor.
Berbanding wanita, lelaki biasanya tidak begitu cenderung untuk mencari maklumat kesihatan atau berusaha ke arah pencegahan penyakit.
SENTIASA jalani gaya hidup sihat.
"Ramai dalam kalangan masyarakat juga tidak menyedari bahawa sindrom kekurangan hormon testosteron ini adalah satu penyakit yang boleh ditangani," katanya.
Sempena Bulan Kesedaran Kesihatan Lelaki, pada bulan ini, beliau berharap semua lelaki mengambil kesempatan ini untuk menilai kesihatan diri sendiri.
"Seperti yang disarankan kerajaan baru-baru ini, rakyat Malaysia perlu memberikan fokus terhadap isu obesiti, penyakit kronik metabolik dan penyakit kardiovaskular.
"Semua penyakit ini adalah berkait rapat dengan masalah hormon testosteron, khasnya lelaki dewasa.
"Sekiranya anda mempunyai masalah kesihatan lelaki, baik dari segi hormon testosteron mahupun penyakit kanser lelaki atau metabolik, silalah berjumpa dengan doktor pakar," katanya.
Sumber:https://www.hmetro.com.my/WM/2021/11/781679/buang-rasa-malu
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Wanita & Lelaki
|