Mangsa bencana banjir tidak perlu khuatir kerana layak mendapatkan semula kad pengenalan, pasport dan lain-lain lagi salinan dokumen serta rekod yang musnah secara percuma.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, permohonan boleh dibuat menerusi Jabatan Pendaftaran Negara yang akan membantu dalam urusan pembaharuan dokumen.
Penduduk sibuk mengemas peralatan dan membersih rumah yang ditenggelami banjir di Hulu Langat. FOTO Aswadi Alias
Katanya, ia sebahagian usaha dilakukan bagi meringankan beban mangsa yang ditimpa musibah.
"Sesiapa sahaja (mangsa banjir) boleh mendapatkan kad pengenalan dan pasport secara percuma.
"Segala dokumen lain seperti sijil kematian, sijil kelahiran dan rekod yang diperlukan juga akan beri secara percuma.
"Buat masa ini, biar mereka (mangsa) uruskan rumah dahulu. Selesai nanti, baru kita hantar kenderaan untuk bawa mereka buat permohonan," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke rumah mangsa banjir di Batu 18 1/2, Kampung Jawa, di sini, hari ini.
Menurutnya, mangsa banjir yang mempunyai masalah mendapatkan bantuan boleh menghubungi talian 999 dan Pusat Kawalan Malaysia Polis Diraja Malaysia di talian 03-22663333 atau 03-22663444.
Sumber: Harian Metro |