Rakyat tidak sepatutnya hanya menumpukan isu melingkari Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki, malah melihat gejala rasuah membelenggu negara ini secara lebih meluas.
Justeru, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menggesa suatu gerakan rakyat menyuarakan pandangan mereka berhubung isu rasuah melanda ketika ini.
Kredit foto: IG Anwar
Beliau berkata, isu rasuah dalam negara kini semakin membimbangkan bukan sahaja mengenai kes Azam yang dikaitkan dakwaan pemilikan saham, tetapi isu rasuah lebih besar seperti kertas Pandora, konsesi Spanco Sdn Bhd (Spanco) dan Digital Nasional Berhad (DNB) perlu diberi perhatian.
“Rencana oleh tokoh politik tertentu dan ahli-ahli korporat yang sekongkol begitu mendesak.
“Kita sibuk dengan Azam Baki, mereka sibuk dengan luluskan projek,” katanya dalam satu video di Facebook yang membicarakan isu-isu semasa.
Kredit foto: Focus Malaysia
Dalam pada itu, Anwar juga menggesa rakyat melihat masalah rasuah itu sebagai bencana dan jenayah yang akan menyebabkan rakyat terutama golongan miskin terus derita.
“Bukan sahaja projek besar. Ketirisan berlaku termasuk dalam projek rakyat biasa. Subsidi minyak pun ada ketirisan. Bantuan rakyat ada ketirisan. Ini disebut Ketua audit Negara tahun demi tahun,” katanya.
Anwar juga berkata, isu Azam itu dilihat sebagai satu perkara serius kerana membabitkan institusi negara.
Beliau menggesa Azam berundur sementara bagi membolehkan siasatan bebas berjalan.
“Tak mungkin ada siasatan bebas sekiranya dikendalikan oleh jabatan sama. Semua tahu…saya tidak cadang untuk menghukum tetapi hormati proses. Ini tak berlaku,” katanya.
Sumber: FMT |