|
Sydney: Penduduk di sekitar Melbourne, Australia gempar apabila dalam tempoh empat hari, dua kubur digali dan rangka dilarikan dipercayai untuk upacara pemujaan syaitan.
Tengkorak dan tulang dicuri dari Tanah Perkuburan Awam Footscray, selain meninggalkan simbol syaitan di kubur berkenaan.
Penemuan kedua yang membimbangkan itu berlaku selepas orang awam melihat keranda terbuka di tanah perkuburan, manakala salib dan beberapa nota bertulis juga dilaporkan dikeluarkan dari kubur.
Pakar kriminologi, Dr Xanthe Mallett memberitahu 7News, kemunculan simbol syaitan di tanah perkuburan dipercayai untuk upacara itu yang pertama di negara itu.
Beliau berkata, kebanyakan kes seperti itu berlaku di United Kingdom (UK).
"Saya pernah melihatnya di UK, tetapi saya tidak pernah melihat sebarang aktiviti pemujaan syaitan di Australia.
"Saya tidak pernah melihat kubur dirompak untuk apa-apa selain daripada rompakan kubur ketika ratusan tahun lalu apabila mayat diambil atas sebab anatomi," katanya.
Sementara itu, polis mengesahkan, mereka akan meningkatkan rondaan di lokasi itu dengan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV). - Agensi
|
|