|
Juri perhalusi keterangan kes Johnny Depp, Amber Heard
Dilaporkan sembilan juta penonton menyaksikan perbicaraan kes saman fitnah Depp terhadap Heard, setiap hari. Foto IG Johnny Depp
WASHINGTON: Barisan juri kes saman fitnah pelakon, Johnny Depp, 58, terhadap bekas isteri, Amber Heard, 36, dilaporkan sedang menimbang dan membincangkan keterangan direkodkan sepanjang enam minggu perbicaraan membabitkan pelbagai saksi termasuk bintang terkenal Hollywood.
Agensi melaporkan, peguam bela mewakili Depp dan Heard masing-masing selesai memberi hujah penutup di Mahkamah Circuit di Fairfax Country, Virginia, Jumaat lalu, (semalam waktu Malaysia) dengan juri diberi masa untuk berbincang dan membahaskan semua keterangan sebelum membuat keputusan.
Namun, difahamkan, berikutan hujung minggu dan pelepasan Memorial Day, kemungkinan juri menyambung perbincangan dan membuat keputusan, minggu depan, lapor agensi.
Sebelum ini, dilaporkan, perbicaraan kes saman Depp terhadap Heard ditetapkan berakhir pada 19 Mei lalu.
Namun, dengan bukti tambahan penting, tempoh lanjutan diberi bagi memastikan juri dapat menimbang semua keterangan dikemukakan di mahkamah.
Mengikut agensi, tarikh akhir perbicaraan ditetapkan Jumaat lalu, namun, dilaporkan peguam bela kedua-dua pihak sudah membuat penggulungan, sehari sebelum itu.
Depp pada sesi perbicaraan kes saman fitnah difailkan terhadap Heard. Foto Reuters
Depp memfailkan saman fitnah terhadap Heard atas penulisannya untuk kolum Washington Post, dengan menuntut ganti rugi sebanyak AS$50 juta (RM218 juta).
Heard yang juga pelakon filem Aquaman, membalas dengan memfailkan saman menuntut AS$100 juta (RM437.8 juta) dan mendakwa dirinya mengalami 'penderaan serta keganasan fizikal' daripada Depp.
Depp menafikan beliau pernah melakukan penderaan fizikal terhadap Heard, sebaliknya mendakwa ketika perbicaraan bahawa wanita itu yang sering bertindak ganas.
Sementara itu, Harian Metro Online melaporkan, perbicaraan kes saman Depp terhadap bekas isterinya menjadi topik perbualan ramai - tidak ubah seperti Persidangan Parlimen apabila prosiding kes berkenaan boleh diikuti secara langsung menerusi pelbagai medium.
Prosiding kes disiarkan menerusi penstriman langsung di saluran Sky News, Law & Crime Network dan Court TV. Selain itu, prosiding disiarkan menerusi laman sesawang ketiga-tiga saluran berkenaan.
Ini berikutan sistem kehakiman di Amerika Syarikat (AS) yang membolehkan prosiding kes di mahkamah di peringkat tertentu, disiarkan kepada umum. Ini tertakluk kepada kebenaran hakim yang mendengar mana-mana kes.
Menurut laporan daripada Presiden Law & Crime Network, sembilan juta penonton menyaksikan perbicaraan kes ini, setiap hari.
Pengguna tegar TikTok juga dapat mengikuti pelbagai klip video pendek mengenai perbicaraan kes saman ini.
Antara testimoni menarik perhatian dunia adalah apabila kekasih lama Depp, peragawati terkemuka dunia, Kate Moss menafikan kenyataan Heard yang mendakwa dia pernah disepak dan ditolak oleh artis berkenaan.
Moss yang hadir secara dalam talian sebagai saksi, menjawab dakwaan Heard yang mengatakan dia pernah ditolak dari tangga sehingga terjatuh di sebuah pusat percutian di Jamaica.
Sebaliknya, Moss memberitahu mahkamah, dia tergelincir dari tangga bilik hotel berkenaan.
Depp dan Heard bertemu pada 2009 di set penggambaran filem The Rum Diary sebelum berkahwin pada Februari 2015 tetapi bercerai, dua tahun kemudian. - AGENSI
Sumber:https://www.bharian.com.my/hibur ... ny-depp-amber-heard
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|