View: 4403|Reply: 0
|
Usah semberono memahami sabda Nabi
[Copy link]
|
|
Usah semberono memahami sabda Nabi
ADA hadis yang tidak boleh difahami secara literal kerana boleh menyebabkan kekufuran dan penyimpangan akidah.
Kesalahfahaman terhadap beberapa hadis 40 Imam an-Nawawi membuktikan bahawa ada sebahagian hadis yang tidak boleh difahami secara literal tanpa menggunakan sebarang alat bantu. Antara alat bantu utama bagi memahami hadis sedemikian ialah penguasaan bahasa Arab yang baik dan pengetahuan menyeluruh tentang segenap aspek hadis yang dibicarakan.
Justeru, ulama yang mempunyai alat ini tidak menghadapi sebarang kesukaran pun dalam berinteraksi dengan hadis sedemikian.
Antara hadis 40 yang juga tidak boleh difahami secara literal ialah hadis ke-38 daripada Abu Hurairah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah Taala berfirman: 'Barangsiapa yang memusuhi seorang wali-Ku, maka Aku akan isytiharkan perang terhadapnya. Tidaklah hamba-Ku mendekatkan dirinya kepada-Ku dengan suatu perkara yang lebih Aku sukai daripada amalan yang Aku fardukan ke atasnya. Dan sentiasa hamba-Ku mendekatkan dirinya kepada-Ku dengan amalan sunat sehingga Aku mencintainya. Maka, apabila Aku sudah mencintainya, maka Aku adalah pendengarannya yang dia mendengar dengannya dan penglihatannya yang dia melihat dengannya dan tangannya yang dia berpegang dengannya serta kakinya yang dia berjalan dengannya. Sekiranya dia meminta kepada-Ku, nescaya Aku akan berikan kepadanya dan sekiranya dia meminta perlindungan kepada-Ku, nescaya Aku akan melindunginya."' (Riwayat al-Bukhari)
Sudah tentu frasa 'Aku adalah pendengarannya yang dia mendengar dengannya' hingga seterusnya tidak boleh difahami secara literal mengikut zahir hadis. Jika tidak, ia boleh menyebabkan kekufuran dan penyimpangan akidah yang amat serius kerana Allah SWT tidak akan sekali-kali bersatu dengan makhluk-Nya sebagaimana fahaman sesat hulul dan ittihad (panteisme). Maka tidak lain, frasa berkenaan hanyalah berbentuk majazi dan kiasan terhadap pertolongan, bantuan dan perhatian Allah SWT terhadap hamba yang mendekatkan diri kepada-Nya dengan amalan ketaatan. (Rujuk al-Fath al-Mubin oleh Imam al-Haitami, hlm 242)
Kemahiran membezakan antara hakikat zahir dan aspek majazi dalam hadis jelas suatu perkara yang cukup penting. Ini kerana Nabi SAW adalah daripada bangsa Arab dan sangat fasih bertutur dalam bahasa Arab. Antara kebanggaan dalam berbahasa Arab ialah penggunaan aspek majazi dalam syair dan perbualan antara mereka. Maka, sudah tentu baginda SAW juga menggunakan gaya bahasa sedemikian dalam pertuturannya.
Antara contoh lain, hadis daripada Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Allah SWT berfirman: 'Apabila seorang hamba mendekatkan diri kepada-Ku sejengkal, maka Aku akan mendekatinya sehasta dan apabila dia mendekati-Ku sehasta, maka Aku akan mendekatinya sedepa dan apabila dia datang kepada-Ku secara berjalan, maka Aku akan datang kepadanya secara berlari-lari."' (Riwayat al-Bukhari)
Secara zahir, hadis ini boleh menimbulkan salah faham hingga membawa kepada fahaman sesat tasybih dan tajsim, iaitu menyerupakan Allah dengan makhluk serta mempunyai jisim sebagaimana makhluk. Walhal, hadis ini hanyalah berbentuk tamsilan dan perumpamaan sahaja. Maksud sebenarnya ialah 'sesiapa yang bersegera melakukan ketaatan kepada-Ku, maka Aku akan mengurniakan ganjaran pahala kepadanya dengan kadar yang lebih segera'. (Rujuk Ta'wil Mukhtalif al-Hadith oleh Ibn Qutaibah, hlm. 224)
Contoh lain, daripada Jahimah al-Sulami RA beliau datang kepada Nabi SAW lalu bertanya: "Ya Rasulullah, aku ingin pergi berperang, namun aku juga datang untuk meminta pandangan tuan". Maka jawab baginda: "Adakah engkau masih mempunyai ibu?" Jawabnya: "Ya, ada". Lalu balas baginda: "Kalau begitu dampingilah dia, sesungguhnya syurga itu adalah di bawah dua kakinya". (Riwayat Ahmad, al-Nasa'i, Ibn Majah dan al-Hakim, katanya: Sahih sanadnya)
Hadis ini jelas tidak boleh difahami secara literal bahawa syurga itu benar-benar berada di bawah dua kaki ibu. Maka, maksud sebenarnya ialah mentaati dan berbakti kepada ibu itu antara sebesar-besar amalan yang boleh membawa pelakunya ke syurga.
Hadis yang boleh disalahfahami turut dikategorikan oleh ulama sebagai hadis yang musykil (musykil al-hadith) iaitu hadis yang zahirnya tidak boleh terus diterima disebabkan pelbagai faktor. Antaranya seperti bertentangan dengan nas al-Quran yang jelas, berlawanan dengan sesuatu yang telah diterima kebenarannya secara ilmiah atau zahirnya boleh menimbulkan salah faham seperti menyamakan sifat Allah SWT dengan makhluk dan sebagainya.
Hadis sedemikian perlulah dirujuk kepada alim ulama supaya dapat difahami maksudnya dengan betul. Malah, banyak kitab syarah hadis yang dikarang oleh ulama bagi menjelaskan makna hadis secara tepat, antaranya seperti Syarah Sahih Muslim oleh Imam al-Nawawi dan Fath al-Bari oleh al-Hafiz Ibn Hajar. Maka itu, janganlah semberono. Silalah rujukkan sesuatu ilmu itu kepada ahlinya.
Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad, Universiti Islam Selangor (UIS)
Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... memahami-sabda-nabi
|
|
|
|
|
|
|
| |
|