CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 4452|Reply: 0

Keunggulan Hadis 40 Imam An-Nawawi

[Copy link]
Post time 30-9-2023 08:13 AM | Show all posts |Read mode
Keunggulan Hadis 40 Imam An-Nawawi

KARYA Imam an-Nawawi secara kolektif dianggap mewakili intipati dan terasajaran Islam yang sempurna.


Hadis 40 Imam an-Nawawi  (wafat 676H)  adalah himpunan empat puluh dua hadis Nabi SAW yang cukup penting dan signifikan  untuk  pegangan setiap umat Islam secara  amnya. Ini kerana himpunan kesemua hadis  secara kolektif  boleh dianggap mewakili intipati dan teras  bagi  ajaran Islam  yang  sempurna.  Kata Imam an-Nawawi:  "Setiap hadis  daripadanya merupakan kaedah besar daripada kaedah-kaedah utama agama, yang  (setiap satunya)  disifatkan  oleh  ulama  sama ada berkisar  tumpuan ajaran Islam di atasnya, atau ia separuh ajaran Islam, atau sepertiga  ajaran Islam,  atau  ciri  yang seumpama itu."

Antara  tema  agama yang disentuh ialah berkaitan niat, ibadat, iman, ihsan, ketentuan takdir, halal, haram, nasihat, jihad, ketaatan, keyakinan, kasih sayang,  kehormatan diri, menghargai orang lain, akhlak mulia,  mengikut  sunah, bersederhana, penghakiman,  mencegah  kemungkaran, persaudaraan  dan  taubat.   

Namun, ada pihak yang cuba  mengelirukan  tema hadis kelapan  mengenai jihad  yang diriwayatkan daripada lbnu  'Umar  RA  bahawa Rasulullah SAW bersabda: ‎ ‎"Aku telah diperintahkan supaya memerangi  (menggesa  sungguh-sungguh)  manusia sehingga mereka bersaksi bahawa ‎ sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad itu utusan Allah, ‎ mereka mendirikan  solat  dan membayar zakat. Apabila mereka telah berbuat demikian,  ‎maka mereka telah memelihara darah dan harta mereka daripadaku melainkan dengan hak  ‎lslam,  manakala  perhitungan amal mereka  pula  terserah kepada Allah Taala." (Riwayat al-Bukhari  dan Muslim)

Pihak terbabit  seolah-olah  sengaja  memahami  secara  negatif Nabi SAW diperintahkan supaya menyebarkan Islam secara kekerasan  dan paksaan  dengan memerangi umat manusia sehingga mereka memeluk Islam.  Walhal  Allah SWT jelas berfirman: "Tidak  ada paksaan dalam agama  (Islam)."  (al-Baqarah:  256).  Maka ,  hadis  berkenaan  tidak boleh difahami  secara berasingan daripada  dalil yang lain.

Kalimah  'memerangi'  boleh  difahami  melalui  seluruh usaha dan perlaksanaan dakwah Nabi SAW selama 23 tahun Baginda menjadi rasul.  Dalam tempoh ini, Baginda diperintahkan untuk  berusaha  mendirikan hukum Allah SWT di atas muka bumi dengan  menzahirkan kebenaran  dakwah Islam  dan bersungguh-sungguh menyebarkannya kepada umat manusia untuk menyelamatkan mereka daripada  azab  api neraka di Akhirat kelak.

Jika kita  merujuk tempoh dakwah Nabi SAW di Makkah selama 13 tahun, maka maksud  kalimah 'memerangi'  ialah  menyebarkan dakwah Islam  dengan  bersungguh-sungguh  kerana  jelas  tiada perang yang berlaku  dalam  tempoh  ini. Manakala setelah Nabi SAW berhijrah ke Madinah dan ramai yang memeluk Islam sehingga Islam menjadi kuat, maka  maksud kalimah 'memerangi' ialah  menggesakan  sungguh- sungguh  dakwah Islam  kepada umat manusia  kerana ia  merupakan  tugas kenabian yang wajib dilaksanakan.  Sehubungan  itu,  jihad  disyariatkan  kepada  Nabi SAW  dan kekal  menjadi  sebahagian  tuntutan  agama sehinggalah  hari kiamat.

Jelasnya, maksud kalimah 'memerangi'  dapat difahami melalui  keseluruhan  sirah nabawiyyah.  Misalnya, perang Badar berlaku kerana Nabi SAW  mahu menzahirkan kekuatan Islam dengan menuntut bela  terhadap harta benda  orang  Islam yang dirampas ketika mereka di Makkah.  Lalu  Baginda  dan sahabatnya cuba untuk memitas rombongan dagang Qurasiy yang melalui sempadan Madinah. Tetapi mereka berjaya meloloskan diri dan meminta bantuan pihak Quraisy Makkah sehingga terjadi peperangan.

Perang Uhud pula berlaku kerana pihak Quraisy tidak berpuas hati dengan kekalahan mereka semasa perang Badar. Begitu juga perang Khandaq berlaku kerana kaum Quraisy dan sekutu mereka bersepakat untuk menyerang dan menghapuskan umat Islam. Perang Khaibar berlaku kerana puak Yahudi bertindak menghasut kabilah-kabilah Arab untuk menyerang umat Islam di Madinah.

Kemuncaknya  berlaku  pembukaan kota Makkah  apabila kaum Quraisy  melanggar perjanjian damai yang telah dimeterai semasa di Hudaibiyah hingga akhirnya seluruh semenanjung Arab tunduk kepada kekuasaan Islam. Kekuatan baharu Arab ini turut menggoyahkan Empayar Rom sehingga mereka  merancang  untuk menyerang umat Islam.  Lalu, Nabi SAW menyambut ancaman mereka dengan menyediakan kekuatan besar tentera Islam yang siap untuk berjihad dalam perang Tabuk.  

Dengan kekuatan dimiliki, seruan  rahmat  Islam  juga ditawarkan kepada negeri yang belum memeluk Islam. Sekiranya mereka tidak mahu menerima  Islam  pun  tidak menjadi masalah kerana tiada paksaan dalam beragama, namun mereka mestilah membayar jizyah (cukai) sebagai tanda balasan terhadap kerajaan Islam yang bertanggungjawab melindungi nyawa  dan  harta mereka. Sebagaimana orang Islam  sendiri  diwajibkan membayar zakat.

Ringkasnya, pihak yang memahami  kalimah 'memerangi' semata-mata  sebagai membunuh orang bukan Islam selagi mereka tidak memeluk Islam  tanpa penjelasan rasional  lain  adalah kefahaman yang  sangat  dangkal  dan  amat  jauh daripada kebenaran dan realiti.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)

Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... adis-40-imam-nawawi

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

22-11-2024 07:22 AM GMT+8 , Processed in 0.036184 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list