View: 2568|Reply: 0
|
Nikmat syukur dorong hati bertambah bersih
[Copy link]
|
|
Nikmat syukur dorong hati bertambah bersih
BERTAHMID dan berdoa selepas solat berjemaah menambahkan keberkatan dalam kehidupan.
Insan yang sentiasa diberi kurniaan dan kelebihan di atas muka bumi perlu sentiasa bersyukur supaya ia menjadi amalan yang akan menambahkan lagi keberkatan dan limpahan rezeki daripada Allah SWT.
Hakikatnya kurniaan itu sebahagian daripada bentuk kasih sayang dan tanda ingatan-Nya buat hamba-Nya supaya sentiasa melazimi amalan syukur dengan memanjatkan ungkapan tahmid dan doa seperti yang diajarkan Rasulullah SAW yang berbunyi: "Ya Allah, nikmat apa pun yang ada padaku di waktu pagi atau yang ada pada setiap makhluk-Mu, semuanya hanya dari-Mu semata, tiada sekutu bagi-Mu, bagi-Mu segala puji dan bagi-Mu segala syukur." (Hadis Riwayat Abu Daud dan Baihaqi)
Ia sangat disukai dalam Islam jika seorang hamba Allah yang diberikan kurniaan mahupun kemenangan baik sentiasa melazimi lidahnya dengan mengucapkan tahmid dan sering berdoa kepada Allah SWT. Ungkapan tahmid adalah sebahagian zikir penting sebaris dengan ungkapan takbir (mengagungkan/membesarkan Allah) dan tasbih (memuji Allah). Ungkapan takbir sering kedengaran ketika imam menyebut dalam solat berjemaah seperti takbiratul ihram dan takbir intiqalat, namun ungkapan tahmid mempunyai keunikan luar biasa sehinggakan Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: "Dan (ingatlah juga) ketika Tuhanmu memaklumkan; Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih." (Surah Ibrahim, ayat 7)
Untuk itu, bagi menambah keberkatan dan limpahan rahmat Allah SWT, maka insan yang terdidik jiwa dan akhlak yang murni sentiasa sedar bahawa kurniaan dan kelebihan itu hadir dengan sikap sentiasa mensyukuri nikmat Allah SWT, manakala mengkufuri nikmat Allah SWT hanya mengundang kemurkaan dan azab Allah SWT. Malaysia yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan seluruh barisan jemaah menteri Kerajaan Perpaduan Malaysia berjaya menambah baik dan membantu meningkatkan keyakinan ramai pelabur luar untuk melabur dalam negara bagi memastikan agenda mengukuhkan ekonomi dan meningkatkan pendapatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan kerajaan. Walaupun masih ada beberapa isu yang masih membelenggu seperti kenaikan kos sara hidup dan gangguan bekalan makanan, namun rakyat Malaysia masih hidup aman damai. Segala kelemahan segera diperbaiki demi memastikan rakyat sentiasa terjamin dan hidup dengan tenang.
Bagi insan yang waras dan sentiasa berfikir pasti mampu melihat secara mendalam bahawa nikmat pemberian Allah SWT menjadikan Malaysia pada hari ini berada pada landasan yang tepat untuk bangkit membina kekuatan ekonomi dan seterusnya melaksanakan dasar yang mampu menyelamatkan negara daripada pelbagai krisis khususnya bebanan hutang negara yang mencecah 1.5 trilion ringgit di samping bertiwikrama (berusaha dengan sedaya upaya) bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara yang kurang memberangsangkan akibat ketidakstabilan politik negara sebelum ini apabila kepimpinan negara sering bertukar.
Anugerah Allah SWT hadir dalam pelbagai bentuk seperti kestabilan negara kukuh dua pertiga majoriti, kepemimpinan yang adil dan amanah, pelaksanaan dasar dan tatakelola yang baik buat rakyat, pelaburan yang meningkat dan berimpak tinggi, peluang pekerjaan yang banyak, rakyat berpendapatan tinggi dan lain-lain lagi. Hal ini sudah pasti adalah kurniaan yang wajar disyukuri dan bukan dikufuri oleh setiap insan yang mengakui keimanannya kepada Allah SWT.
Justeru, Islam mendidik umat sentiasa menjadikan tahmid ungkapan syukur dan pujian kepada Allah SWT sebagai satu bentuk kelaziman bagi menzahirkan rasa syukur terhadap anugerah Allah SWT yang terindah buat manusia. Usaha menzahirkan rasa syukur boleh diucapkan sebagaimana doa yang ada dalam al-Quran yang berbunyi: "Ya Tuhanku, anugerahkanlah aku (ilham dan kemampuan) untuk tetap mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada kedua orang tuaku dan untuk tetap mengerjakan kebajikan yang Engkau redai. (Aku memohon pula) masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang saleh." (Surah An- Naml, ayat 19)
Antara doa lain yang wajar dilazimi setiap insan ialah doa mathur yang diajar Nabi SAW yang berbunyi: "Ya Allah, bantulah aku untuk senantiasa mengingat-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah dengan baik kepada-Mu." Justeru, sebagai Muslim yang terdidik dengan akhlak terpuji hendaklah sentiasa melafazkan tahmid sebagai tanda syukur bagi tujuan menambah lagi keberkatan dalam hidup.
Akhir kalam, nikmat syukur pasti menjadikan hati nurani bertambah bersih daripada segala kekotoran dan mendatangkan keberkatan dalam kehidupan Muslim. Syukur alhamdulillah atas anugerah terindah yang diberikan Allah SWT buat kita semua moga ia kekal sebagai haruman terindah buat rakyat Malaysia.
Penulis Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Perlis.
Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... ti-bertambah-bersih
|
|
|
|
|
|
|
| |
|