|
Kota Kinabalu: Seorang bayi perempuan ditemui di tempat mengambil wuduk Masjid Taman Seri Gaya, Luyang, di sini, kira-kira pukul 9 malam.
"Tolong jaga atau letak anak di rumah anak yatim. Saya mohon maaf kerana tidak dapat menjaga anak ini, keadaan dan bukan rezeki saya untuk besarkan dia. Terima kasih banyak banyak," demikian antara isi kandungan nota yang ditemukan bersama.
Imam masjid berkenaan, Adzwan Erman, 28, berkata dia bersama isteri dan anaknya terdengar bunyi bising ketika keluar dari kenderaan untuk masuk ke rumahnya yang terletak di belakang masjid.
Foto: Harian Metro
"Ketika itu, saya ingatkan bunyi kucing kerana masjid terletak berhampiran taman perumahan lalu membawa isteri dan anak masuk ke dalam rumah.
"Saya kemudian keluar semula untuk mengambil barang dan 'bunyi' itu semakin kuat seakan tangisan bayi," katanya kepada Harian Metro.
Adzwan berkata, akibat rasa curiga, dia kemudian memeriksa sebelum menyedari ada sebuah kotak di tempat wuduk.
"Saya terkejut apabila melihat bayi perempuan dibaluti kain di dalam kotak, lalu mengangkat dan membawanya masuk ke dalam masjid.
"Terdapat surat bersama bayi terbabit lalu saya memberitahu ahli masjid sebelum mereka menghubungi pihak polis," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, berdasarkan nota yang ditinggalkan, bayi berkenaan yang cukup sifat dilahirkan pada 31 Oktober lalu.
Menurutnya, individu yang meninggalkan bayi itu memohon maaf kerana tidak dapat menjaga anaknya atas faktor ketidakmampuan serta memintanya dihantar ke rumah anak yatim.
Katanya, bayi berkenaan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk pemeriksaan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Hatikah Ahmad di talian 016-8337246 atau balai polis berhampiran," katanya. -CARI
Sumber: Utusan |
|