Dalam masa sama, Shuib menjelaskan masalah yang berlaku berpunca daripada kelemahan pengurusan terdahulu.
"Sepanjang beroperasi lebih tiga tahun kami lalui saat genting. Namun Alhamdulillah kami diberi rezeki apabila kini mempunyai lebih 300 kakitangan, tapi realiti adat berniaga pasti ada fasa turun naik. Salah satu dugaan adalah isu ini.
"Masalah ini berlaku apabila bisnes ini memasuki tahun ketiga. Saya selaku pengasas, pemegang saham dan ketua pemasaran mendapati terdapat kelemahan pengurusan di bahagian kewangan.
"Tidak dinafikan kami meraih keuntungan yang tinggi sebelum ini, tapi apabila berlaku kelemahan ini banyak hal yang terjadi.
"Jadi bermula November 2022 saya bersama seorang lagi rakan kongsi ambil alih hal berkaitan pengurusan termasuk di bahagian kewangan," katanya.
Dalam pada itu, Shuib turut menjawab dakwaan netizen yang mendakwa dia seperti mengabaikan kebajikan pekerjanya apabila sering tayang kemewahan.
"Satu benda yang kami nak tegaskan di sini ketika Bubble Bee berada pada fasa kejatuhan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan akibat penularan Covid-19, kami tak pernah potong gaji pekerja termasuk tak pernah tak bayar gaji sejak kami beroperasi sehingga hari ini.
"Kalau ada yang kata pengasasnya bermewah-mewah, takkan saya nak cakap berapa banyak duit dari poket sendiri sudah saya keluarkan untuk Bubble Bee.
"Saya anggap ini satu dugaan dalam perniagaan. Saya dan pengurusan tertinggi perlu hadap perkara ini sebab kami percaya perniagaan ini boleh pergi lebih jauh melalui pengurusan yang betul," katanya.
Terdahulu syarikat minuman yang diasaskan Shuib, Bubble Bee dikatakan gagal membayar caruman KWSP dalam tempoh yang ditetapkan selepas tular surat terbuka daripada seorang individu tidak dikenali di aplikasi TikTok.
Menerusi kenyataan dalam surat terbuka berkenaan, Bubble Bee dikatakan menolak bahagian gaji pekerja bagi caruman KWSP setiap bulan, namun tiada transaksi berlaku pada akaun para pekerja.
Sumber: Harian Metro