|
Bukan tiada tawaran lakonan, sebaliknya pelakon Fikry Ibrahim lebih selektif memilih naskhah bagi memberi tumpuan kepada ibunya.
Demi perhatian kepada ibunya, jejaka berusia 29 tahun itu tidak kisah biarpun terpaksa berulang alik dari Kuala Lumpur ke Kedah, saban minggu.
Fikry juga sedang menyiapkan kediaman selesa buat keluarga yang memerlukannya sentiasa memantau pembinaan rumah berkenaan.
Bagaimanapun, kata Fikry, tawaran lakonan masih tidak putus, tetapi lebih teliti memilih naskhah.
"Saya masih meminati bidang lakonan. Alhamdulillah, setakat ini, tawaran masih ada, cuma saya lebih teliti menerima tawaran.
"Ini kerana saya pernah berdepan dengan syarikat produksi tidak mengikut perjanjian dalam kontrak.
"Dalam perjanjian, penggambaran sepatutnya mengambil masa tempoh yang sudah ditetapkan, tapi terlajak beberapa hari. Saya bukanlah tidak boleh bertolak ansur, jika penggambaran terlajak disebabkan cuaca bolehlah berkrompomi," katanya kepada BH Online.
Selain faktor tidak menepati masa, Fikry berkata, satu lagi faktor yang menyebabkannya bersikap selektif disebabkan faktor pembayaran lewat.
"Saya pernah berdepan syarikat produksi yang kata sudah bayar dan disertakan slip bayaran. Tapi, bila saya periksa dalam akaun bank, wang tidak masuk.
"Saya tak kisah jika mereka bayar lambat sebab nak pusing modal, tapi jangan sampai tak bayar.
"Masalah bukan terjadi pada syarikat baharu, tapi produksi berpengalaman pun ada. Apa yang saya lihat, kontrak lebih memihak kepada produksi berbanding pelakon," kata pelakon drama Jesnita itu.
Menurut Fikry, dia mula faham kenapa ramai pelakon bersikap selektif disebabkan masalah berkenaan, namun dirinya bukanlah seorang yang suka menjaja masalah.
"Saya lebih suka menjaga nama dan kerja demi dapat terus bertahan dalam industri.
"Saya tidak suka cipta publisiti dengan jaja apa yang berlaku dalam produksi walaupun ada orang yang suka berbuat demikian," katanya.
Sumber: BH Online |
|