|
Washington: Warga emas di Oklahoma Amerika Syarikat (AS) diisytiharkan tidak bersalah selepas 48 tahun menjalani hukuman penjara kerana pembunuhan yang tidak dilakukannya.
Glynn Simmons, 71, adalah banduan yang menjalani tempoh paling lama untuk hukuman penjara sebelum dibebaskan dalam sejarah AS, menurut The National Registry of Exonerations.
Simmons dibebaskan Julai lalu selepas menjalani hukuman penjara selama 48 tahun, sebulan dan 18 hari.
Foto: Gofundme
Simmons dan seorang lagi lelaki, Don Roberts, sebelum ini dijatuhi hukuman mati pada tahun 1975 kerana pembunuhan ke atas seorang kerani kedai arak berusia 30 tahun semasa rompakan di Edmond, Oklahoma, setahun sebelum itu.
Hukuman mereka kemudiannya ditukar kepada penjara seumur hidup.
Simmons dan Roberts disabitkan kesalahan semata-mata berdasarkan keterangan seorang saksi terselamat yang juga pelanggan remaja yang ditembak di kepala, semasa rompakan.
Namun, siasatan lanjut polis menimbulkan keraguan ketara terhadap kebolehpercayaan pengecamannya.
Semasa perbicaraan, kedua-dua tertuduh mendakwa mereka tidak berada di Oklahoma pada masa pembunuhan itu.
Hakim Mahkamah Daerah AS, Amy Palumbo menolak sabitan kesalahan Simmons pada Julai dan mengisytiharkan dia tidak bersalah pada perbicaraan di Mahkamah Daerah Oklahoma, Selasa lalu.
"Ini adalah hari yang kami tunggu untuk masa yang lama.
"Kita boleh katakan keadilan dilakukan hari ini, akhirnya," kata Simmons kepada pemberita.
Menurut Simmons, dia mungkin layak mendapat pampasan untuk sabitan yang tidak pernah dilakukannya.
Roberts pula, dibebaskan dari penjara pada 2008, menurut The National Registry of Exonerations.
Sumber: Harian Metro |
|