KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menetapkan tarikh baharu untuk merakam keterangan Tun Daim Zainuddin selepas bekas Menteri Kewangan itu dimasukkan ke hospital.
Susulan itu, proses yang sepatutnya berlangsung hari ini, ditangguhkan hingga tarikh baharu diperoleh kelak.
Sumber berkata, temu bual itu perlu dijadualkan semula memandangkan Daim dimasukkan ke hospital.
"Kami dimaklumkan beliau dimasukkan ke hospital minggu lalu, jadi kami kena tetapkan tarikh baharu," katanya seperti dilaporkan oleh FMT.
Rabu lalu, isteri Daim, Toh Puan Nai'mah Abdul Khalid, lserta dua anaknya, Muhammad Amin Zainuddin Daim dan Muhammad Amir Zainuddin Daim di Ibu Pejabat SPRM bagi dirakamkan keterangan.
SPRM berkata, ketiga-tiga individu itu dirakam keterangan bagi memastikan beberapa perkara berhubung aset bernilai tinggi di dalam dan di luar negara yang berada di bawah nama syarikat kepunyaan mereka serta terkait dengan siasatan terhadap Tun Daim.
Ia membabitkan satu notis diserahkan kepada Tun Daim mengikut Seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009 pada 7 Jun 2023 manakala notis mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 juga diserahkan kepada ahli keluarga beliau.
"Sebagaimana yang dinyatakan pada Kenyataan Media SPRM bertarikh 30 Disember 2023 yang lalu, siasatan terhadap Tun Daim ini bermula pada Februari 2023 berdasarkan pendedahan serta maklumat daripada Kertas Pandora," katanya.
|