View: 8146|Reply: 0
|
Md Akid ungguli Litar Jasin dalam hujan
[Copy link]
|
|
Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Md Akid Aziz (tengah) mengungguli perlumbaan pertama Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2024 di Jasin, Melaka semalam. – Foto BERNAMA
JASIN: Hujan pada aksi pembukaan Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2024 tidak menjadi halangan buat pelumba PERTONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Md Akid Aziz mendominasi perlumbaan untuk mengungguli kategori CP150 di Jasin Bestari, Melaka semalam.
Juara bertahan keseluruhan itu mencatat masa 17 minit 17.228 saat selepas menamatkan 20 pusingan meninggalkan pesaing terdekatnya Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Honda Estremo Yuzy Racing di tempat kedua 17:20.733s dan rakan sepasukannya, Ahmad Afif Amran di tempat ketiga 17:21.083s.
Penunggang berusia 26 tahun itu berkata, keadaan jentera yang baik mengizinkannya mendahului dari awal hingga ke akhir perlumbaan sekali gus mencipta kemenangan yang disifatkannya permulaan baik untuk mengharungi baki sembilan lagi pusingan.
"Saya gembira dengan catatan masa hari ini tetapi ia agak mencabar selain perlu berhati-hati terutamanya di selekoh kerana keadaan litar yang basah.
"Sudah tentu untuk kekalkan gelaran juara agak sukar kerana perlumbaan seterusnya sudah pasti pelumba lain akan lebih bersedia memberi saingan sengit," katanya kepada pemberita selepas tamat perlumbaan.
Terdahulu hadiah kepada pemenang disampaikan Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Melaka VP Shanmugam.
Md Akid yang berasal dari Kuala Lumpur berkata, selain Azroy Hakeem dan Afif, pencabar utama lain musim ini dijangka daripada pelumba Yamaha JHR PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Kasma Daniel Kasmayudin.
"Apa pun, yang lebih penting saya perlu mengekalkan momentum untuk mempertahankan gelaran CP150 tahun ini," katanya.
Sementara itu Azroy Hakeem yang menduduki tempat kedua turut berpuas hati dengan keputusan perlumbaan itu kerana sudah mencuba untuk menyaingi Md Akid.
Katanya keadaan litar yang basah sedikit sebanyak merencatkan usahanya memberi saingan kepada pelumba berkenaan yang mendahului sejak awal.
Bagaimanapun, Azroy Hakeem yang menduduki tempat ketiga keseluruhan tahun lalu berazam memperbaiki kedudukan serta menyasarkan juara keseluruhan musim ini. – BERNAMA
https://www.bharian.com.my/sukan ... r-jasin-dalam-hujan |
|
|
|
|
|
|
| |
|