KUALA LUMPUR – Dakwaan kontroversi yang dikemukakan penceramah Wan Ji Wan Hussin terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu dijawab Kementerian Dalam Negeri, kata Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).
Justeru, parti itu mengetengahkan beberapa persoalan terhadap dakwaan Wan Ji bahawa Najib mendapat layanan istimewa di Penjara Kajang dan mendesak agar perkara itu perlu dijawab segera.
“Kami berharap agar Kementerian Dalam Negeri dapat memberikan penjelasan mengenai dakwaan seperti ini secepat mungkin.
“Adakah benar dakwaan terdapat layanan istimewa kepada Najib Razak? Jika benar, adakah ini disebabkan beliau merupakan seorang bangsawan dan bekas Perdana Menteri Malaysia?
“Setelah beberapa tahun melawan kleptokrasi, adakah ini cara Kerajaan Perpaduan melayan kes jenayah berprofil tinggi yang berkait dengan bekas pemimpin dalam parti kerajaan hari ini? Jika ya, maka benarlah dimaksudkan Menteri KDN mengenai UMNO merupakan partners in struggle,” kata MUDA lagi.
Wan Ji mendakwa Najib sememangnya di penjara itu dan malah mendakwa dia menerima layanan “sangat istimewa”.
“Kalau ada orang kata Najib tiada dalam penjara, itu tidak betul. Memang dia di Penjara Kajang, hari-hari dia ada di situ. Kecuali kalau dia ada urusan luar seperti perbicaraan di mahkamah,” katanya pada 25 Mac lalu.
Dalam laporan itu, Wan Ji mendakwa Najib dilihat tidak memakai baju banduan dan hanya berpakaian biasa.
Wan Ji bebas sepenuhnya pada 22 Mac lalu setelah beberapa bulan menjalani hukuman penjara ekoran sabitan kes hasutan yang dikaitkan dengan sultan Selangor pada 2014. – MalaysiaGazette
|