LANGKAWI – Seorang peniaga di Bazar Syawal, di sini terpaksa menanggung kerugian sehingga RM100,000 apabila khemah dan barang niaganya dibadai ribut, awal pagi ini.
Tinjauan di bazar yang menjual persiapan perayaan Aidilfitri itu mendapati terdapat beberapa khemah yang musnah dan barang-barang niaga dilihat bertaburan.
Seorang peniaga, Siti Sarah Hana Mohamad Subri, 22, memberitahu, semua pakaian raya dan sebahagian tudung yang diletakkan di khemahnya tidak dapat dijual kerana telah rosak terkena hujan.
“Kami ada dua khemah, satu khemah patah menyebabkan semua pakaian yang diletakkan di situ basah dan kotor.
“Sekarang saya buntu kerana pakaian tersebut tidak boleh dibasuh seperti biasa kerana mempunyai manik dan dianggarkan sekurang-kurangnya kami rugi sebanyak RM100,000,” katanya.
Seorang peniaga tudung, Nur Liyani Naharuddin, 33, berkata, 700 helai tudung yang dijualnya rosak terkena hujan.
“Saya melihat sendiri khemah kami diterbangkan semasa ribut kira-kira pukul 3.30 pagi tadi dari bangunan Kompleks Pekan Rabu.
“Sekarang ini saya tidak tahu hendak mula dari mana kerana semuanya telah rosak,” ujarnya.
Dalam pada itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP), Tunku Iskandar Shah Tunku Muzaffar Shah berkata, sebanyak 30 buah khemah didapati rosak di bazar tersebut.
“Selain itu, 135 buah khemah di Bazar Ramadan Pelancongan di Kuah juga rosak dipukul ribut pagi tadi.
“MPLBP akn cuba selesaikan permasalahan peniaga di bazar-bazar tersebut dan akan pastikan mereka dapat kembali berniaga secepat mungkin,” katanya di sini, hari ini. -KOSMO! ONLINE
|