|
Ebby (dua kanan) menerima kunjungan Farhan (tiga kanan) di kediamannya. Foto dari Instagram (IG) Datuk Seri Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Pelakon dan pelawak veteran, Ebby Yus mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan wakilnya yang sudi menziarah serta bertanya khabar mengenai keadaannya serta anak-anak seni yang diuji dengan masalah kesihatan.
Ebby, 59, ketika dihubungi berkata, dia berbesar hati atas keprihatinan Anwar sebagai Perdana Menteri dan menyambut baik kehadiran wakilnya yang juga Setiausaha Politik, Farhan Fauzi, ke kediamannya di Kampung Bharu, pagi semalam.
"Saya pun tak tahu mereka nak datang. Sehari sebelum itu dapat panggilan daripada wakil Jabatan Perdana Menteri (JPM), memaklumkan wakil Perdana Menteri nak datang menziarahi artis-artis yang diuji dengan sakit dan sebagainya.
"Jadi, memang dia beritahu, sebelum ini sudah menziarahi beberapa artis lain yang tak sihat. Mereka dapat tahu saya pun ada masalah kesihatan. Jadi, dalam 10.30 pagi mereka datang menziarah dan luangkan masa lebih kurang 45 minit.
"Mereka bertanya mengenai sakit saya dan bagaimana jalani kehidupan dan sebagainya. Saya maklumkan, tidaklah banyak berlakon sebab saya tak mampu nak buat. Tawaran kerja memang ada," katanya kepada Harian Metro.
Ebby atau nama sebenar, Muhammad Yunus Abdul Rashid berkata, dia tidak pernah meminta bantuan sesiapa sebelum ini, namun terharu apabila ada pihak yang mengambil berat dan bertanya khabar keadaan kesihatannya.
"Contohnya, kalau dalam keluarga, kita ada ayah. Kalau ayah tak ambil berat langsung, kita akan rasa sedih. Perdana Menteri itu memang menjadi tanggungjawabnya kepada rakyat. Apabila kita didampingi begitu walaupun oleh wakil, itu sudah 1,000 rahmat buat kita.
"Dalam berjuta rakyat, kita terpilih. Ini pun atas izin Allah. Sebagai manusia, saya bersyukur. Saya tak pernah meminta, tapi apabila ada orang yang melihat kita dan ambil berat.
"Misalnya, kita ada kawan dan tanya khabar sahaja pun, kita dah rasa terharu sebab orang ingat kita. Maknanya, kita sebagai rakyat diambil berat oleh pemimpin, nak kata apa lagi. Bersyukur sahajalah," katanya.
Ditanya mengenai keadaan kesihatannya, Ebby yang sebelum ini berhadapan komplikasi jantung berkata, keadaan kesihatannya semakin stabil selepas menjalani prosedur pemasangan bateri di jantungnya.
"Setakat ini, syukur Alhamdulillah. Sebab dah banyak benda yang dah rosak, jadi ia tidak seperti sedia dahulu. Adalah kekurangannya.
"Selepas sudah tiga ke empat bulan pasang bateri, adalah perubahannya. Kalau tidak, kalau penat saya sampai pengsan sebab jantung terlampau laju. Sekarang, sudah dapat kawal.
"Selain itu, semuanya kuasa Allah," katanya.
|
|