|
Amy bersama isteri akan berangkat menunaikan fardu haji 6 Jun depan.
PETALING JAYA – Penyanyi rock popular, Datuk Amy Search bakal berangkat menunaikan ibadah bersama isteri tersayang, Norhasliza Hassan 6 Jun depan.
Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abdul Rahman, 66, berharap sekembalinya dia menunaikan rukun Islam kelima itu, dia berubah menjadi seorang Muslim yang lebih taat kepada perintah agama.
“Insya-Allah, saya dan isteri akan berada di sana (tanah suci) untuk menunaikan ibadah haji selama lebih kurang tiga minggu.
“Sepatutnya saya pergi selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tapi tak dapat visa. Alhamdulillah, tahun ini rezeki saya untuk ke sana.
“Saya memang berdebar. Umrah saya dah biasa pergi dan untuk haji, saya serahkan seluruh jiwa dan raga saya kepada Allah SWT,” katanya kepada HibGlam pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Search di Villa Zamara, malam tadi.
Berasa diri kerdil akhirnya berpeluang menjadi tetamu Allah menunaikan fardu haji, vokalis kumpulan rock Search itu berharap agar perjalanannya di sana nanti dipermudahkan dari segala aspek.
“Saya berdoa Allah berikan saya perjalanan yang lebih baik dan lebih indah.
“Apa sahaja dugaan yang bakal saya terima di sana nanti, saya terima dengan reda,” kata Amy lagi.
Amy juga tidak mempunyai masalah untuk membotakkan kepala atau bercukur (Tahallul) yang merupakan salah satu perkara penting dalam pelaksanaan ibadah haji
“Tiada masalah sebab sudah banyak kali saya bercukur atau botakkan kepala sebelum ini,” katanya.
Terdahulu pada 2019, Amy tidak dapat menunaikan ibadah haji berikutan gagal mendapat visa. Amy berkata, rezeki belum memihak dirinya menunaikan haji pada waktu itu. – KOSMO! ONLINE
|
|