ALOR SETAR: "Hati ibu mana tak sedih anak yang dilahirkan normal, disahkan buta selepas bebola mata kiri rosak kerana kanser dan perlu dibuang segera".
Nor Amalina Osman, 30, mengimbau peristiwa lima tahun lalu ketika anaknya, Muhammad Khalish Rizqi Khairudin ketika itu baru berusia setahun lebih dan kini mata kirinya tidak dapat melihat.
Ketika itu mereka sekeluarga menetap di Melaka dan dia syak sesuatu ketika hendak menukar lampin pakai buang Khalish apabila mendapati mata kiri anaknya bersinar lalu terus membawanya ke hospital untuk pemeriksaan.
"Hasil pemeriksaan pada 2019 itu, doktor sahkan anak ada kanser mata atau retinoblastoma dan perlu dirujuk kepada pakar di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Doktor pakar kemudian cadangkan anak segera jalani pembedahan.
"Pembedahan untuk buang bebola mata kiri kerana bimbang sel kanser merebak ke otak," katanya mengakui pada mulanya tidak dapat menerima hakikat hingga mengambil masa seminggu untuk membuat keputusan.
Katanya, demi kesihatan dan nyawa anak ketiga daripada lima beradik itu, dia akur membenarkan pembedahan dan berserah kepada Allah SWT.
Suami, Khairudin Muhd Zahari, 34, terpaksa berhenti kerja pemandu lori kerana harus berulang alik ke hospital untuk rawatan anak, yang kemudian dirujuk ke Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas mereka berpindah menetap di Kampung Pekan Tunjung, Kulim, Kedah.
"Anak sudah jalani kemoterapi enam pusingan tiga minggu sekali pada 2019," katanya memaklumkan Khalish kini menggunakan bebola mata palsu yang perlu dijaga dengan baik.
Katanya, kehidupan mereka agak susah disebabkan dia hanya suri rumah, suami kini hanya bekerja dengan syarikat kurier dengan pendapatan bergantung pada hasil jualan.
"Dulu kami ada kereta, tapi kerap rosak. Jadi, terpaksa sewa jika nak ke hospital. Dua anak lain dan Khalish bersekolah, dua lagi masih kecil termasuk yang bongsu berusia dua bulan," katanya berharap keadaan anaknya itu bertambah baik walaupun buta.