|
Pemain pertahanan, Tosin Adarabioyo menandatangani kontrak empat tahun bersama Chelsea. - Foto AGENSI
LONDON: Chelsea membuat pembelian pertama di bawah pengendali baharu, Enzo Maresca dengan menandatangani pemain pertahanan, Tosin Adarabioyo untuk kontrak empat tahun.
Bekan pemain Manchester City itu, yang sebelum ini bersama Fulham, akan menyertai Chelsea pada 1 Julai selepas kontraknya di Craven Cottage tamat.
Adarabioyo, 26, adalah pemain pertama ditandatangani Maresca di Stamford Bridge selepas melengkapkan pemeriksaan kesihatannya awal minggu ini.
Dengan Thiago Silva akan berpindah ke Fluminense, kehadiran Adarabioyo cukup penting dalam menguatkan benteng Chelsea.
Adarabioyo memulakan kariernya di Man City, bertapak selama 17 tahun di kelab itu sebelum berpindah ke Fulham untuk mendapatkan minit permainan.
Sepanjang empat tahun di Craven Cottage, dia membuktikan keupayaannya sebagai bek tengah dan menarik minat beberapa kelab termasuk Newcastle United.
"Chelsea adalah sebuah kelab besar dan ia melengkapkan kitaran karier saya. Saya dilahirkan tiga batu dari Stamford Bridge dan membuat penampilan pertama saya di sana.
"Saya sangat teruja dan tidak sabar membantu kelab ini. Saya di sini untuk menang. Saya akan terus bekerja keras dan berusaha untuk mencapai matlamat kelab," kata Adarabioyo.
Adarabioyo mengumpul 132 penampilan untuk Fulham sejak berpindah dari Man City pada tahun 2020. Sebelum itu dia dipinjamkan ke West Bromwich Albion dan Blackburn Rovers.
https://www.bharian.com.my/sukan ... uat-benteng-chelsea |
|