|
KAPTEN Perancis, Kylian Mbappe (kanan) cuba melepasi Crepeau pada perlawanan persahabatan, awal pagi tadi. FOTO REUTERS
Bordeaux: Perancis dan Kanada seri 0-0 dalam perlawanan persahabatan, awal pagi tadi, pada ketika kedua-dua pasukan melengkapkan persediaan bagi menghadapi kempen Euro 2024 dan Copa America.
Perancis mengancam untuk berada di depan pada babak pertama, tetapi percubaan N'Golo Kante dan Marcus Thuram diselamatkan penjaga gol, Maxime Crepeau.
Kedudukan terikat sehingga tamat babak kedua selepas kedua-dua pasukan mencipta peluang, namun gagal menembusi gawang lawan.
Ia adalah penampilan terakhir penyerang yang juga pemegang rekod penjaring terbanyak Perancis, Olivier Giroud di tempat sendiri selepas mengumumkan akan bersara dari pentas antarabangsa selepas Kejohanan Eropah (Euro) 2024 di Jerman.
Dia mendapat tepukan gemuruh daripada penonton yang berdiri bagi memberi penghormatan di Nouveau Stade de Bordeaux.
"Kami berdepan lawan bagus yang memiliki intensiti dan kami ada beberapa peluang pada babak pertama. Selepas itu, keadaan menjadi lebih sukar," kata pengendali Perancis, Didier Deschamps.
Perancis yang menang selesa 3-0 ke atas Luxembourg pada Rabu lalu, antara pasukan pilihan untuk memenangi Euro 2024 apabila kejohanan bermula di Jerman, Jumaat ini.
"Ia bukan langkah ideal, tetapi amat penting bagi saya untuk memberi peluang kepada semua orang bermain dalam dua perlawanan persahabatan ini.
"Perlawanan hari ini bukan mudah dan kami mendapat gambaran mengenai cabaran yang bakal menanti bermula pada 17 Jun ini," kata Deschamps.
Perancis berdepan Austria pada perlawanan pembukaan Euro 2024 sebelum bertemu Belanda pada 21 Jun diikuti Poland, empat hari kemudian.
Manakala Kanada yang dibimbing jurulatih baharu, Jesse Marsch akan memulakan kempen Copa America menentang Lionel Messi dan Argentina pada 20 Jun, sebelum berdepan Peru, lima hari kemudian dan Chile pada 29 Jun.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... alan-benteng-kanada |
|