Pengarah KPDN Johor Lilis Saslinda Pornomo (tiga dari kanan) bersama Pengarah Kesihatan Negeri Johor Dr. Mokhtar Pungut@ahmad (tengah) meninjau jualan Rahmah pada sesi walkabout Program Jualan Rahmah (PJR) Madani di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru. FOTO OMAR AHMAD
Johor Bahru: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri (KPDN) Johor merekodkan RM19.31 juta nilai rampasan hasil pemeriksaan bermula 1 Januari hingga 14 Julai lalu.
Pengarahnya, Lilis Saslinda Pornomo berkata, nilai rampasan itu daripada 570 kes yang terhasil dari pemeriksaan terhadap 41,644 jenis barangan seluruh negeri ini.
"Hasil tindakan ke atas ke semua kes terbabit, KPDN Johor mengenakan kompaun sebanyak RM108,200, manakala nilai denda yang dijatuhkan di Mahkamah sebanyak RM382,220.
"Kami juga menerima empat aduan berkaitan kenaikan harga sejak penyasaran subsidi diesel dalam Ops Kesan 2.0.
"Kita memohon sekiranya berlaku sebarang pelanggaran etika oleh peniaga yang gagal patuhi peraturan di bawah peraturan KPDN, sila buat aduan dan salurkan kepada kami. Buat masa ini setiap hari kita adakan pemeriksaan di premis perniagaan yang membabitkan pemeriksaan barang kawalan seperti diesel, petrol, gula, minyak masak dan tepung," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi walkabout Program Jualan Rahmah (PJR) Madani di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr. Mokhtar Pungut@Ahmad
Menurut Lilis Saslinda, PJR yang diadakan di HSA menawarkan penjualan 48 item barangan keperluan harian dan asas dengan kadar potongan antara 10 hingga 30 peratus berbanding harga jualan asal.
"Program ini adalah seiring dengan inisiatif kerajaan untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat terutamanya pengguna yang berpendapatan rendah.
"Sebanyak 341 inisiatif jualan PJR Madani dilaksanakan seluruh negeri Johor bermula Januari hingga Julai tahun ini.
"Antara barangan keperluan asas yang ditawarkan seperti beras, telur, minyak masak, tepung gandum dan sebagainya dengan kadar potongan harga sehingga 30 peratus," katanya.
|