JUMARDI
TAWAU: Golongan muda yang mahu menjadi pemimpin politik perlu mempunyai adab dan bijak mengeluarkan sesuatu kenyataan, bukannya hanya mahu menarik populariti semata-mata.
Ketua Penerangan UMNO Tawau, Jumardi Sakka berkata, penglibatan golongan muda dalam dunia politik sudah semakin diterima, malah diberikan keutamaan.
Katanya, semua parti politik di negara ini sudah mula menunjukkan sikap berlapang dada dengan penglibatan orang muda dalam menerajui sesuatu jawatan politik.
Namun katanya, orang muda perlu kelihatan beradab dan bijak supaya dapat menjadi pemimpin negara seperti yang diha rapkan. “Golongan muda perlu mempunyai adab yang baik dan menghormati pemimpin lama, bukannya suka mengeluarkan kenyataan jelik untuk menarik perhatian.
“Selain itu, pemimpin muda juga yang diharapkan bukannya dalam kalangan mereka suka tukar-tukar parti atau erti kata lain lompat parti,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Beliau yang membidas kenyataan seorang pemimpin muda yang tidak berpuas hati dengan kenyataan Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin sebelum ini.
Katanya, kenyataan pemimpin muda itu seperti orang yang tidak beradab dan perlu membuat kajian dahulu sebelum bertindak keluarkan kenyataan.
“Saya difahamkan dia seorang yang berpendidikan tinggi tetapi tindakannya itu seperti orang kemaruk perhatian dan jawatan sahaja.
“Ketua UMNO Sabah mengeluarkan fakta yang betul kerana negeri ini masih lagi dibelenggu dengan pelbagai masalah infrastruktur,” katanya.
Jumardi berkata, UMNO Tawau menyokong penuh kenyataan Bung yang mengatakan sentimen ‘Anti Malaya’ hanya merugikan disaat Sabah masih dibelenggu kemunduran.
“Parti yang kononnya gabungan parti politik tempatan di negeri ini dilihat seperti hanya untuk kepentingan survival politik mereka sahaja.
“Justeru, saya berharap rakyat di negeri ini terutamanya belia perlu memilih pemimpin muda yang bijak, bukannya orang yang perlukan populariti sahaja,” katanya.
|