Edited by Vellfire at 26-7-2024 04:36 AM
IPD Limbang tidak berkrompomi dengan perbuatan langgar peraturan, undang-undang sehingga jejas imej pasukan
Parum menyampaikan sijil penghargaan kepada pengamal media Azizul Kipli pada Program Perhimpunan Bulanan IPD Limbang hari ini.
“Aspek integriti dan disiplin pegawai dan anggota di IPD Limbang ini amat dititikberatkan.”
Superintenden Parum Niot
Ketua Polis Daerah Limbang
Oleh Mastura Ismail
LIMBANG: Anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang diingatkan untuk mengamalkan integriti dan mengelak sebarang salah laku seperti yang terkandung dalam Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Parum Niot berkata, pihaknya tidak akan berkrompomi dengan sebarang perbuatan yang melanggar peraturan dan undang-undang yang ditetapkan sehingga boleh menjejaskan imej pasukan itu sendiri.
“Aspek integriti dan disiplin pegawai dan anggota di IPD Limbang ini amat dititikberatkan.
"Saya tidak mahu ada anggota terlibat dengan perbuatan salah laku yang akhirnya akan menyebabkan mereka ‘terbabas’ daripada skop penugasan dan arahan yang ada tidak dipatuhi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Daerah Limbang di IPD Limbang hari ini. Kata Parum lagi, penyelia perlu bertanggungjawab untuk menyelia pegawai dan anggota bawahan dari semua sudut dan tidak mendidik mereka dengan perkara tidak elok dan melanggar peraturan yang ditetapkan pasukan itu.
Tegasnya, kelemahan aspek penyeliaan menjadi antara punca yang mendorong segelintir anggota terbabit dalam isu salah laku termasuk isu integriti dan perbuatan salah laku.
Kata beliau, walaupun isu salah laku ini hanya dilakukan segelintir warga PDRM namun ia mampu mencemarkan imej dan nama baik PDRM, seperti kata pepatah kerana nila setitik rosak susu sebelanga.
Terdahulu katanya, 56 orang terdiri daripada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan orang awam yang membantu pasukan keselamatan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang anggota tentera yang hilang di Ulu Tutong sempadan Brunei-Malaysia mendapat pengiktirafan.
Katanya lagi, pihaknya amat menghargai dan berterima kasih kepada semua pasukan keselamatan dan orang awam yang membantu dalam Ops SAR sehingga mangsa, Prebet Muhammadd Syafiq Hilmi Abdul Halim ditemui dalam keadaan selamat 6 Julai lepas.
|