Edited by Vellfire at 18-9-2024 10:07 PM
MIRI: Wang tunai berjumlah RM29,200 menjadi rebutan dalam tujuh kategori sempena larian amal separa maraton Hotel Dynasty ke-20 yang dijadualkan pada Ahad ini.
Hotel Dynasty Miri dalam satu kenyataan berkata, kategori yang dipertandingkan adalah terbuka lelaki dan wanita 21 kilometer, veteran lelaki dan wanita 21 kilometer dan 10 kilometer lelaki dan wanita terbuka serta Fun Run empat kilometer.
Pihak hotel turut mengesahkan kira-kira 1,500 penyertaan telah diterima untuk pertandingan Ahad ini.
Sehubungan itu, peserta diingatkan mengambil pek atau barangan larian pada Jumaat dan Sabtu ini di ruang lobi hotel pada jam 10 pagi hingga 6 petang.
Majlis pelepasan peserta dijadualkan pada Ahad kira-kira jam 4 pagi bagi kategori 21 kilometer, sementara bagi kategori 10 kilometer dan empat kilometer dijadualkan kira-kira jam 6.15 pagi.
Susulan larian amal itu, beberapa jalan akan ditutup melibatkan Jalan Miri-Pujut, Jalan Bulan Sabit, Jalan Sukan, Jalan Kipas, Jalan Slyvia, Jalan Melayu dan Jalan Brooke.
Jalan Kingsway, Jalan Kubu, Jalan Padang, Jalan Sehati, Jalan Marina Utama, Jalan Brighton, Jalan Tanjong dan Jalan Luak turut ditutup.
Lima hadiah cabutan bertuah bernilai RM2,700 turut menanti peserta bertuah serta hamper barangan bernilai RM500 setiap satu untuk lima pemenang.
Pemenang setiap kategori menerima RM1,000 bagi juara, RM700 (kedua), RM500 (ketiga), RM300 (keempat), RM200 (kelima) manakala pemenang keenam hingga ke-10 menerima hamper.
Untuk keterangan lanjut, hubungi pengerusi penganjur Stanley Gena di talian 019-4892215 atau Presiden Bulatan Park Runners Club (BPRC) Tang Swee Ming (019-8844172).
|