Uggah (tengah) mengadakan lawatan kerja ke tapak pembinaan Jambatan Bintulu-Jepak yang hampir siap hari ini.
BINTULU: Jambatan Bintulu-Jepak yang bakal menjadi jambatan Golden Gate ikonik San Francisco di bandar Bintulu dijangka siap sepenuhnya pada Februari tahun depan.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata penyiapan jambatan sepanjang 1.2 kilometer merentasi muara Sungai Kemena itu dijangka memudahkan pergerakan orang awam dari pusat bandar ke Jepak seterusnya ke Lapangan Terbang Bintulu dan kawasan berdekatan.
"Saya difahamkan oleh kontraktor proses pembinaan jambatan ini berjalan lancar serta mengikut tempoh ditetapkan," katanya ditemui media ketika mengadakan lawatan kerja ke tapak pembinaan Jambatan Bintulu-Jepak di sini hari ini.
Uggah berkata, penyiapan jambatan itu merealisasikan impian Kerajaan Sarawak khususnya rakyat di Bintulu yang sudah lama menanti pembinaan jambatan terpenting ini. Katanya, ini menunjukkan kerajaan sememangnya komited melaksanakan apa sahaja projek pembangunan yang dapat memberi impak positif terhadap pembangunan negeri ini.
"Saya menzahirkan penghargaan kepada kontraktor yang amat komited serta bertungkus-lumus menyiapkan projek pembinaan jambatan ini walaupun pada mulanya ia tertangguh akibat pandemik COVID-19 sedikit masa lalu," jelasnya.
|