CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 7572|Reply: 0

[Tempatan] Pengguna kurang celik teknologi punca MyDigital ID tidak berkesan - pakar

[Copy link]
Post time 3-10-2024 07:19 PM | Show all posts |Read mode
Pengguna kurang celik teknologi punca MyDigital ID tidak berkesan - pakar

https://www.bharian.com.my/berit ... l-id-tidak-berkesan

Oleh Saadiah Ismail - Oktober 3, 2024 @ 6:58pm
[email protected]


Pensyarah Kanan, Fakulti Komputeran dan Meta Teknologi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Ahmad Wiraputra Selamat.

KUALA LUMPUR: Inisiatif kerajaan dalam mewujudkan pengkalan data MyDigital ID disifatkan kurang berkesan berikutan masih ramai dalam kalangan rakyat yang kurang celik dengan teknologi terutamanya membabitkan aplikasi baharu.

Pensyarah Kanan, Fakulti Komputeran dan Meta Teknologi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Ahmad Wiraputra Selamat, berkata ia diburukkan lagi dengan tiada strategi dalam pelaksanaannya iaitu pengenalan dan pembudayaan kepada masyarakat.

"Pengenalan dan pembudayaan penting supaya rakyat memahami mengapa mereka perlu mencipta identiti nasional secara digital dan bagaimana ia boleh dilaksanakan.

"Malah, kempen dan promosi yang dijalankan sebelum ini masih belum sepenuhnya sampai kepada rakyat di mana setakat ini hanya 800,000 pengguna saja mendaftar dengan MyDigital ID.

"Oleh itu, tidak hairanlah kenapa arahan dari Menteri Pengangkutan, Anthony Loke untuk mewajibkan pengesahan MyDigital ID untuk mengakses aplikasi MyJPJ mendapat reaksi yang rata-ratanya negatif dari masyarakat,"katanya kepada BH, di sini, hari ini.

Terdahulu, bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming berkata, sistem itu belum diuji sepenuhnya sehingga menyebabkan ramai pengguna aplikasi MyJPJ gagal mendaftar.

Beliau berpandangan pengguna tidak seharusnya diwajibkan beralih kepada penggunaan MyDigital ID untuk mendaftar masuk aplikasi MyJPJ, sebaliknya diberi pilihan terlebih dahulu.

Dalam pada itu, Ahmad Wiraputra berkata, menjenguk ke laman itu, beliau juga melihat paparan permohonan maaf atas kesulitan yang dialami pengguna, yang menjadi antara faktor penyumbang kepada kesukaran pendaftaran MyDigital ID.

"Antara faktor kegagalan pendaftaran itu ialah kamera yang kurang jelas, pengguna tidak mempunyai fungsi kamera, pengguna tidak memasang fungsi lokasi selain kesukaran muat turun yang mungkin disebabkan kelembapan Internet dan sebagainya.

"Dari situ kita sepatutnya menyedari dan memahami kepelbagaian pengguna yang datang dari kawasan pedalaman, ada yang mungkin baru kenal telefon pintar atas faktor usia, ada yang mungkin baru tahu apa itu biometrik, pengesahan wajah dan sebagainya.

"Kerajaan dan pihak berwajib mesti melihat terlebih dahulu faktor-faktor ini sebelum melaksanakan teknologi baharu seperti MyDigital ID secara mandatori,"katanya.

Menyentuh mengenai integrasi data dalam pelbagai aplikasi kerajaan, beliau berkata, tidak wujud sebarang masalah, sebaliknya banyak kelebihan kerana syarikat yang membangunkannya mempunyai kepakaran yang khusus seperti keselamatan siber dan inskripsi.

"Justeru, integrasi data tetap boleh dilaksanakan walaupun dibangunkan oleh syarikat berbeza melalui teknologi Antaramuka Pengaturcaraan Aplikasi (API) kerana ia tetap membolehkan aplikasi berbeza berkomunikasi dengan satu sama lain melalui protokol yang ditetapkan.

"Umpamanya MyDigital ID dan PADU adalah dua sistem yang mempunyai peranan berbeza, fungsi berasingan tetapi saling melengkapi dalam usaha kerajaan memperkukuh infrastruktur digital negara.

"MyDigital ID memfokus kepada sebuah sistem identifikasi digital yang menyediakan satu mekanisme log masuk tunggal (Single Sign-On) untuk mengakses pelbagai perkhidmatan kerajaan dan swasta. Ia tidak jauh berbeza dengan fungsi MyKAD tetapi di dalam maya.

"Manakala PADU pula adalah sistem pengkalan data yang menyatukan semua data yang dimasukkan setiap individu dalam negara dengan data dari agensi kerajaan di bawah satu platform pusat.

"Ia bertindak sebagai pusat rujukan data utama pelbagai agensi terutama dalam menyokong usaha kerajaan mengagihkan pelbagai bantuan dan manfaat kepada rakyat,"katanya.

Bagaimanapun, beliau tetap bersetuju aplikasi itu diperkenalkan dan dilaksanakan secara berperingkat termasuk akses kepada MyJPJ dan aplikasi jabatan kerajaan yang lain.

"Tetapi ia mestilah menjadi antara satu kaedah pengesahan selain kaedah yang digunapakai sebelum ini untuk tujuan pengenalan dan pembudayaan," katanya.

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

18-11-2024 02:34 PM GMT+8 , Processed in 0.458873 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list