CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 11039|Reply: 0

[Sarawak] Isu ICQS Sungai Tujoh Miri akhirnya dapat perhatian KSN

[Copy link]
Post time 3-10-2024 09:43 PM | Show all posts |Read mode


MIRI: Isu dan masalah yang timbul berkaitan dengan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin, dan Keselamatan (ICQS) di Sungai Tujoh, di sini akhirnya mendapat perhatian Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar yang mengadakan lawatan mengejut ke situ pada Ahad lalu.

Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man (gambar) berkata, lawatan itu jelas menunjukkan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam menangani kebimbangan dan cabaran yang dihadapi oleh ICQS Sungai Tujoh Miri yang kerap dibangkitkan wakil rakyat di sini.

"Justeru saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ketua Setiausaha atas kesudian beliau melawat dan menilai keadaan di ICQS Sungai Tujoh.
"Lawatan ini sejajar dengan rancangan kerajaan untuk menubuhkan satu agensi sempadan tunggal.

"Tujuan penubuhan agensi ini adalah untuk menyelaras dan memusatkan operasi pelbagai agensi yang menguruskan sempadan negara, termasuk imigresen, kastam, dan keselamatan.

"Ini akan memastikan proses pelepasan di sempadan lebih cekap, memperkukuh keselamatan negara, dan meningkatkan perdagangan rentas sempadan, yang seterusnya akan memberi manfaat kepada ekonomi Miri dan kawasan sekitarnya," tambah beliau lagi.

Menurut Chiew lagi, lawatan ini juga menekankan keperluan mendesak untuk menangani masalah lama berkenaan kesesakan teruk dan kesesakan lalu lintas di sempadan Sungai Tujoh.

Infrastruktur sedia ada di ICQS kini sudah usang dan tidak mampu menampung peningkatan jumlah trafik.

Reka bentuk 'tulang ikan' di kompleks ICQS ini juga terbukti tidak mencukupi, menyebabkan kesesakan trafik dan kelewatan bagi kenderaan komersial serta penumpang.

"Isu ini adalah perkara yang saya sentiasa bangkitkan di Parlimen dan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN), di mana saya memperjuangkan keperluan untuk menaik taraf kompleks ini bagi menampung peningkatan jumlah kenderaan yang melalui sempadan Miri.

"Penambahbaikan di ICQS Sungai Tujoh amat penting, bukan sahaja untuk mengurangkan kesesakan tetapi juga bagi meningkatkan keselamatan dan keselesaan perjalanan untuk semua pengguna," katanya lagi.

"Di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kita telah melihat kemajuan yang ketara dalam beberapa projek penting untuk Miri yang telah sekian lama dinantikan oleh rakyat. Kelulusan untuk projek Bulatan Pujut GK dan projek peluasan Lapangan Terbang Miri, kedua-duanya sangat penting kepada ekonomi dan komuniti tempatan, mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan kawasan kita.

"Ini adalah isu-isu yang saya telah perjuangkan secara gigih, sama ada di dalam mahupun di luar Parlimen, untuk mendapatkan kelulusan serta pelaksanaan projek-projek ini," tambah beliau.
Chiew berkata, selain daripada perkembangan tersebut, beliau terus komited untuk menyelesaikan isu-isu berkenaan ICQS Sungai Tujoh, yang akan kekal sebagai salah satu keutamaannya untuk diambil perhatian di peringkat tertinggi kerajaan.

"Saya akan terus memantau kemajuan projek Bulatan Pujut GK dan Lapangan Terbang Miri serta memberi perhatian terhadap keperluan penambahbaikan di ICQS Sungai Tujoh.

"Dalam sesi Parlimen yang akan datang, saya akan membuat susulan terhadap projek-projek yang telah diluluskan dan akan terus memperjuangkan penyelesaian jangka panjang bagi menyelesaikan masalah kesesakan dan cabaran operasi di ICQS Sungai Tujoh," ujar beliau lagi.

Katanya, rakyat Miri berhak menerima infrastruktur dan perkhidmatan terbaik, justeru beliau akan tetap komited untuk memastikan hasrat tersebut direalisasikan.


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

18-10-2024 10:36 PM GMT+8 , Processed in 0.651045 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list