Sungai Petani: Seorang pemandu lori didenda RM80,000 selepas didapati bersalah kerana memiliki barang kawalan berjadual iaitu 24,676 liter diesel tanpa lesen sah, dua tahun lalu.
Hakim Azman Abu Hassan menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, G Candrakumar, 47, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Azman turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara enam bulan jika dia gagal membayar denda berkenaan.
Terdahulu, pada 27 Disember 2023, Chandrakumar mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan di mahkamah yang sama.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki barang kawalan berjadual iaitu diesel sebanyak 24,676 liter dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak munasabah.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis beralamat dalam premis bernombor 21, Jalan Pinang Emas 1, Kawasan Perusahaan Pinang Emas, Sungai Petani kira-kira jam 1.30 petang 4 Oktober 2022.
Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM1 juta atau penjara minimum dúa tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan diwakili Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Muhammad Nizam Amir, manakala tertuduh diwakili peguam, T Sharmela.
Terdahulu, Muhammad Nizam meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal ke atas tertuduh kerana mengambil kira ketirisan dana kerajaan akibat kegiatan penyelewengan dilakukannya.
Bagaimanapun, Sharmela merayu hukuman lebih ringan kerana tertuduh hanya bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM2,000 sebulan selain menanggung ibu yang mempunyai penyakit jantung.
Sementara itu, Candrakumar membayar denda yang dikenakan ke atasnya di kaunter Kompleks Mahkamah Sungai Petani sebaik prosiding tamat.