OPERASI: Pasukan bomba menjalankan operasi SAR kaedah surface rescue di lokasi kejadian.
KOTA KINABALU: Seorang kanak-kanak perempuan yang juga orang kelainan upaya (OKU) dikhuatiri lemas selepas terjun di sungai Kampung Lokub, Manggatal, dekat sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian pada kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa kanak-kanak berusia 11 tahun dikatakan terjun dari atas jambatan untuk mandi-manda bersama rakan, sebelum hilang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 1.03 petang.
Katanya, sepasukan sembilan anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Sebaik tiba, pasukan bomba difahamkan mangsa menjalankan aktiviti mandi-manda bersama beberapa kanak-kanak lain, sebelum dia naik di atas jambatan dan terjun ke sungai.
“Namun, kanak-kanak terbabit didapati tidak timbul sebelum laporan MERS999 dibuat, katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba berada di lokasi kejadian mengambil maklumat dan seterusnya menjalankan operasi mencari dengan kaedah surface rescue.
“Setakat ini belum ada petunjuk mangsa ditemukan dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.
|