MASIUNG
KOTA KINABALU: Tindakan pragmatik perlu dilakukan segera termasuklah menubuhkan Sekretariat Kekal bagi membendung jumlah pendatang asing yang semakin bertambah di Sabah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut Datuk Masiung Banah berkata, Kerajaan Sabah dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu berkerjasama membentuk sekretariat itu seperti yang terkandung dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
Katanya, laporan RCI mengenai pendatang asing di Sabah pada tahun 2022, terdapat 3.9 juta penduduk Sabah di mana 1.9 juta adalah warga asing yang membentuk kepada empat kategori pendatang.
“Ia termasuklah Pendatang Tanpa Izin (PTI), pelarian perang memegang kad IMM13 dan Burung-Burung, orang tanpa warganegara serta warga asing yang memiliki dokumen tidak sah (kad pengenalan projek).
“Saya anggarkan lebih 2 juta pendatang asing yang kini bertapak di Sabah kerana laporan RCI itu pada tahun 2022 dan masih ramai lagi pendatang tidak dapat didaftarkan di seluruh negeri ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, perbandingan di Sarawak yang merekodkan jumlah penduduk seramai 2.82 juta, namun hanya 159,000 sahaja rakyat asing di negeri berkenaan.
Masiung berkata, isu pendatang asing di Sabah hanya berlegar pada musim kempen pilihanraya, namun tiada tindakan konkrit menyelesaikan masalah ini melainkan jumlah warga asing semakin meningkat.
“Banyak faktor perlu diberi perhatian bagi menangani isu ini di Sabah iaitu tumpuan kepada 48 lokasi yang menjadi lorong tikus bagi pendatang dari negara jiran Filipina dan 17 lokasi daripada Kalimantan.
“Semua lokasi lorong tikus yang dikenal pasti RCI itu belum diwartakan kerajaan sejak 40 tahun lalu dan ia memberi ruang seluasnya kepada pendatang membolosi sempadan masuk ke Sabah,” katanya.
Selain itu, katanya, terdapat lebih 200 pulau-pulau kecil di mana 52 pulau yang terdapat di Pantai Timur mempunyai penghuni dan tempat ini kerap dijadikan transit pendatang sebelum memasuki Sabah.
“Sampadan laut di Sabah yang luas meliputi 1,700 kilometer juga turut menjadi faktor pembolosan pendatang asing terutama dari Filipina.
“Bagaimanapun, saya tidak menuduh unit penguatkuasa kita tidak menjalankan tugas dengan tulus hingga wujud pembolosan rakyat negara jiran.
“Namun, pengakuan warga asing yang tahan, mereka perlu membayar sejumlah wang kepada tekong kononya boleh mengelak mereka dari sekatan pihak berkuasa,” katanya.
|