CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3560|Reply: 0

[Sabah] LDP sokong penuh Belanjawan 2025

[Copy link]
Post time 21-10-2024 03:06 PM | Show all posts |Read mode


CHIN

KOTA KINABALU: Parti Liberal Demokratik (LDP) menyokong penuh Belanjawan 2025 yang khusus memberi tumpuan kepada pembangunan di Sabah dan Sarawak.

Presiden LDP, Datuk Chin Su Phin berkata, beliau menyokong penuh belanjawan itu terutamanya peruntukan untuk menaik taraf Lapangan Terbang Tawau.

Beliau juga menyeru kerajaan Persekutuan untuk terus meningkatkan peruntukan di Sabah.

Chin berkata, peruntukan dan penyesuaian dasar untuk Sabah dalam belanjawan itu akan memberi kesan positif yang ketara terhadap pembangunan infrastruktur tempatan, pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

Beliau berkata, belanjawan itu juga mencerminkan komitmen kerajaan Persekutuan untuk memperluaskan peruntukan kepada Sabah dan Sarawak, terutamanya dalam bidang infrastruktur, pendidikan dan kesihatan.

Beliau menyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa dana berkenaan akan membantu mengurangkan jurang pembangunan diantara Malaysia Timur dan Semenanjung, melalui pembinaan jalan raya serta pembangunan infrastruktur luar bandar, sekolah, hospital dan naik taraf Lapangan Terbang Tawau.

Chin berkata, peruntukan itu menunjukkan komitmen kerajaan Persekutuan terhadap matlamat pembangunan jangka panjang di Sabah.

"Selama bertahun-tahun Sabah ketinggalan dari segi pembangunan infrastruktur, terutamanya di kawasan pedalaman.

"Peruntukan signifikan dalam infrastruktur Sabah yang digariskan dalam belanjawan ini akan memperbaiki keadaan hidup rakyat, terutamanya dari segi akses kepada perkhidmatan penting seperti pengangkutan, penjagaan kesihatan dan pendidikan.

"Walaupun Sabah telah mengambil tindakan proaktif untuk mempercepatkan pembangunan di negeri ini, masih terdapat perbezaan yang ketara dalam pembangunan ekonomi berbanding Semenanjung Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Oleh itu, Chin menekankan bahawa sokongan daripada kerajaan Persekutuan adalah penting kerana peruntukan dalam bidang utama akan membolehkan Sabah membangunkan infrastrukturnya dengan lebih baik, seterusnya menarik lebih banyak pelaburan dan aktiviti pelancongan yang boleh merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan.

Beliau berkata, pembangunan infrastruktur sentiasa menjadi isu yang menghalang kemajuan di Sabah, terutamanya rangkaian jalan raya.

Katanya, belanjawan itu sekali lagi menekankan projek Lebuhraya Pan-Borneo, yang akan terus mendapat perhatian dan sokongan daripada kerajaan Persekutuan.

"Pembinaan Lebuhraya Pan-Borneo adalah penting untuk Sabah, kerana ia akan menghubungkan kawasan bandar dan luar bandar negeri ini dengan ketara, sekali gus meningkatkan aktiviti ekonomi di seluruh daerah," katanya.

Chin berkata, pembangunan ekonomi Sabah mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Beliau berkata, sistem gaji progresif dalam belanjawan dan sokongan kerajaan untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) akan membantu perniagaan di Sabah dari segi peningkatan gaji pekerja dan meningkatkan daya saing dalam pasaran.

"Sistem gaji progresif bukan sahaja membantu pekerja mencapai pendapatan yang lebih tinggi, tetapi ia juga merupakan cara yang berkesan untuk meningkatkan kualiti tenaga kerja dan mengukuhkan daya saing perniagaan.

"Pelaksanaan dasar ini akan menarik bakat berkemahiran tinggi dan menggalakkan perniagaan melabur dalam latihan berasaskan kemahiran," katanya.

Selain itu, beliau berkata, sokongan kerajaan Persekutuan terhadap PKS adalah penting untuk pembangunan ekonomi di Sabah, kerana syarikat-syarikat ini merupakan tulang belakang ekonomi tempatan dan memainkan peranan penting dalam mewujudkan pekerjaan serta mempromosikan kepelbagaian ekonomi.

Beliau berharap bahawa dana yang disediakan oleh kerajaan dapat membantu lebih banyak perniagaan di Sabah untuk bertapak dalam persekitaran persaingan pasaran yang sengit.

Chin berkata, bahawa dari segi kebajikan sosial, Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dalam Belanjawan 2025 bertujuan membantu golongan miskin dengan menyediakan peluang keusahawanan dan bentuk sokongan ekonomi lain untuk membantu mereka keluar daripada kemiskinan serta meningkatkan pendapatan isi rumah.

Beliau berkata, inisiatif itu amat penting untuk golongan berpendapatan rendah dan keluarga miskin di Sabah dan Sarawak.

“Dasar seperti ini bukan sahaja memperbaiki keadaan hidup golongan miskin tetapi juga menyediakan mereka dengan peluang pembangunan yang mampan, secara beransur-ansur mengurangkan jurang pendapatan," katanya.

Chin berkata, walaupun peruntukan untuk Sabah telah ditingkatkan dalam belanjawan kali ini, kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri harus mengekalkan kerjasama fiskal yang lebih rapat untuk memastikan pengagihan sumber yang adil.

Beliau berkata, Sabah sebagai sebuah negeri yang kaya dengan sumber minyak, berhak mendapat pulangan fiskal yang lebih munasabah, khususnya mengenai perkongsian hasil minyak.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan Persekutuan perlu melibatkan diri dalam sesi dialog yang lebih mendalam dengan Sabah untuk memastikan kepentingan negeri ini terpelihara.

“Kami menyokong perbincangan kerajaan untuk menyelesaikan isu sensitif seperti royalti minyak, kerana ini adalah komponen penting dalam pembangunan ekonomi Sabah," katanya.

Chin menggesa kerajaan Pusat untuk terus memberi tumpuan kepada keperluan pembangunan Sabah, terutamanya dalam kerjasama kewangan dan perkongsian sumber.

Katanya, ia bagi memastikan negeri ini menerima sokongan serta sumber yang layak diperolehi oleh Sabah dalam usaha untuk mencipta masa depan yang makmur untuk rakyatnya.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

22-11-2024 09:31 PM GMT+8 , Processed in 0.542406 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list