KAPIT: Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKKD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kapit hari ini menggesa orang ramai memuat turun aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) di telefon pintar masing-masing.
Aplikasi itu membolehkan pengguna terlibat secara langsung dalam membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan usaha pencegahan jenayah di komuniti setempat.
Menurut kenyataan disiarkan di laman Facebook IPD Kapit, aplikasi VSP adalah landasan mudah alih bukan sahaja membolehkan pengguna membuat laporan berkaitan aktiviti jenayah atau situasi mencurigakan tetapi berfungsi sebagai pengganti borang balik kampung atau notifikasi meninggalkan rumah kosong ketika musim perayaan atau bercuti.
Dengan adanya aplikasi itu, orang ramai boleh melaporkan situasi mencurigakan secara lebih cepat dan efektif, seterusnya meningkatkan keselamatan di kawasan perumahan mereka.
Risalah panduan memuat turun dan menggunakan aplikasi VSP turut disediakan bagi memudahkan pengguna mendaftar dan mula menggunakan aplikasi tersebut.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan berkaitan penggunaan atau pendaftaran aplikasi tersebut boleh menghubungi BPJKKD, IPD Kapit di talian 084-796222 sambungan 207.
|